PETALING JAYA: Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) mempunyai hak bertanding menggunakan logo sendiri dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan dan terus kekal di dalam Perikatan Nasional (PN).
Bekas Ketua Setiausaha Sulit kepada Tan Sri Muhyiddin Yassin, Datuk Dr. Marzuki Mohamad berkata, Bersatu mempunyai hak di bawah Fasal 7 Perlembagaan PN untuk hadir dan memberikan pandangan dalam mesyuarat Majlis Tertinggi (MT) PN.
Namun, menurut beliau, Bersatu dihalang untuk hadir mesyuarat yang diadakan pada 16 Julai lalu untuk pembahagian kerusi PRN Negeri Sembilan dan dua kerusi disandang parti itu diberikan kepada Barisan Nasional (BN) serta Parti Warisan Negara (Warisan).
“Apabila Bersatu bertanding menggunakan logo sendiri dan mengumumkan untuk membentuk sebuah gabungan baharu dikatakan Bersatu telah tergugur keanggotan PN secara automatik.
“Sedangkan tiada satu fasal pun dalam Perlembagaan PN yang memperuntukkan keanggotaan sesebuah parti tergugur dengan sendiri,” katanya menerusi kenyataan di akaun media sosialnya hari ini.
Terdahulu, media melaporkan, keanggotan Bersatu dalam PN gugur secara automatik susulan pengumuman Muhyiddin yang menyatakan hasrat membentuk gabungan politik baharu.
Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang berkata, keadaan itu berdasarkan Perlembagaan PN yang menetapkan bahawa ahlinya terkeluar daripada parti apabila menyertai gabungan lain.
Menurutnya, pendirian itu selaras dengan peruntukan peraturan yang dipersetujui semua parti dalam PN ketika penubuhan awal gabungan berkenaan.
Marzuki berkata, ia bukan soal Bersatu terlalu mahu kekal di dalam PN tetapi hak, peraturan dan perlembagaan yang mesti dipatuhi.
“Macam mana hendak memikul amanah mentadbir negara secara adil dan saksama jika hak-hak yang termaktub dalam perlembagaan parti sendiri pun dilanggar secara semberono.
“‘Jadi, tidak perlulah anda bercakap mengenai moral courage apabila apa yang anda lakukan terhadap Bersatu adalah langsung tidak bermoral dan tidak berperlembagaan,” katanya. –UTUSAN





