KUALA KANGSAR: Polis akan menghantar sampel cap jari wanita yang mayatnya ditemukan dalam sebuah beg pakaian di Sungai Perak berhampiran Jeti Dataran Lembah di sini, Jumaat lalu lalu, bagi mengenal pasti identiti mangsa.
Ketua Polis Daerah Kuala Kangsar, Asisten Komisioner Heisham Harun berkata, setakat ini identiti wanita berkenaan masih belum dikenal pasti kerana tiada dokumen pengenalan diri ditemukan bersama mayat.
“(Sama ada warga asing atau rakyat tempatan) belum dapat dipastikan lagi. Bagaimanapun, kita akan hantar cap jari mangsa untuk semakan bagi mengenal pasti identitinya,” katanya di sini hari ini.
Sementara itu, Heisham berkata, wanita terbabit dipercayai telah meninggal dunia lebih sehari berdasarkan keadaan fizikal ketika ditemukan.
Katanya, setakat ini siasatan juga belum menemui sebarang petunjuk baharu yang boleh membantu mengenal pasti mangsa atau mengesan suspek terlibat.
“Tiada petunjuk baharu dan laporan orang hilang yang boleh dikaitkan dengan penemuan mayat mangsa setakat ini,” katanya.
Media sebelum ini melaporkan mayat seorang wanita ditemukan disumbat dalam sebuah beg pakaian yang dibalut dengan pembungkus plastik di Sungai Perak pada Jumaat lalu.
Beg pakaian yang telah koyak itu ditemukan oleh seorang pemandu bot tambang susulan keadaan paras air sungai yang cetek.
Siasatan awal mendapati mangsa dipercayai berusia lingkungan 30-an dan meninggal dunia akibat dibunuh. Kes berkenaan disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan. – UTUSAN






