PETALING JAYA: Paras air di empangan hidroelektrik di Sarawak masih berada pada tahap rendah susulan cuaca panas dan kering yang melanda negeri itu.
Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Douglas Uggah Embas berkata, kerajaan negeri kini berkoordinasi dengan Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) bagi membincangkan keperluan melaksanakan pembenihan awan bagi menangani masalah berkenaan.
“Cuaca beransur baik, tetapi kami masih menerima laporan daripada Sarawak Energy Berhad (SEB) bahawa paras air di hidro masih agak rendah.
“Jadi, kami masih berkoordinasi dengan NADMA dan melihat keadaan bila kita boleh menjalankan pembenihan awan,” katanya kepada pemberita selepas majlis penyampaian cek bantuan dana rumah ibadat agama-agama lain di Kuching, hari ini.
Mengulas lanjut, Uggah yang juga Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) Sarawak berkata, hujan kebelakangan ini sekurang-kurangnya membantu membersihkan jerebu dengan kebanyakan bacaan Indeks Pencemaran Udara (IPU) di Sarawak berada pada tahap sihat.
Bagaimanapun katanya, masalah bekalan air masih berlaku di beberapa kawasan luar bandar dan perkara itu memerlukan tindakan segera daripada pihak berkuasa di peringkat bahagian.
“Justeru, kita minta Residen Bahagian yang juga Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Bahagian supaya mengambil tindakan segera. Setiap aduan berkaitan bekalan air yang diterima perlu diberikan perhatian segera, dengan bekalan hendaklah dihantar kepada penduduk dalam tempoh 24 jam.
“Dalam masa sama, Jabatan Bekalan Air Luar Bandar (JBALB) diarah supaya menyusun semula perancangan bagi memastikan bekalan air kepada rakyat dapat ditangani dengan lebih berkesan sekiranya cuaca panas dan kering berlarutan,” katanya. – UTUSAN



