TEMERLOH: Seorang pemandu lori tangki mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret Temerloh di sini, hari ini atas dua pertuduhan memandu secara berbahaya sehingga menyebabkan kematian seorang wanita dan anak lelakinya dalam kemalangan di Jalan Temerloh-Triang berhampiran Kampung Lebak, di sini, Jumaat lalu.
Norazlan Mahayuddin, 37, membuat pengakuan itu selepas kedua-dua pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Anis Adlina Abu Johan.
Mengikut kertas pertuduhan, tertuduh didakwa memandu lori tangki secara berbahaya selepas mengambil kira keadaan jalan, saiz jalan dan keadaan kesesakan lalu lintas yang dijangka wujud di lokasi kejadian.
Perbuatan itu didakwa menyebabkan kematian Nur Fatima Syuhada Abdullah, 39, dan anaknya, Muhamad Fattah Aisy Naufal Saifulnizam, 12, dalam kejadian kira-kira pukul 4 petang, 14 Ogos lalu.
Bagi kedua-dua pertuduhan, Norazlan didakwa melakukan kesalahan mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 (Akta 333), yang memperuntukkan hukuman penjara antara lima hingga 10 tahun serta denda antara RM20,000 hingga RM50,000, jika sabit kesalahan.
Timbalan Pendakwa Raya, Amal Razim Alias mengendalikan pendakwaan manakala tertuduh diwakili peguam daripada Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan (YBGK), Mazieera Ra Sharifudin.
Dalam prosiding berkenaan, Mazieera memohon mahkamah membenarkan tertuduh diikat jamin pada kadar minimum dengan alasan anak guamnya memberikan kerjasama kepada pihak berkuasa sepanjang siasatan dijalankan.
Peguam bela turut memaklumkan tertuduh bukan seorang yang berisiko melarikan diri dan mempunyai tanggungan keluarga selain menegaskan wang jaminan bukan satu bentuk hukuman terhadap tertuduh yang masih belum dibicarakan.
Mahkamah membenarkan tertuduh diikat jamin RM10,000 bagi kedua-dua pertuduhan dengan setiap pertuduhan ditetapkan sebanyak RM5,000.
Kes disebut semula pada 1 Oktober ini untuk penyerahan dokumen dan lantikan peguam.
Kemalangan pada 14 Ogos lalu itu mengorbankan Nur Fatima Syuhada dan anaknya selepas kereta dinaiki dua beranak berkenaan terlibat dalam pelanggaran dengan sebuah lori tangki di Jalan Temerloh-Triang berhampiran Kampung Lebak. – UTUSAN






