BOGOTA: Menteri Perumahan Colombia, Jaime Andres Beltran, berdepan tekanan selepas didakwa bercuti bersama keluarganya di Caribbean ketika ribuan mangsa gempa bumi masih kehilangan tempat tinggal.
Beltran dikritik selepas foto dan video yang menunjukkan beliau bersantai di pantai di bandar Santa Marta tersebar pada hujung minggu lalu.
Gempa bumi berukuran 7.4 magnitud yang melanda barat Colombia pada 10 Ogos itu mengorbankan hampir 300 orang dan memusnahkan hampir 27,000 rumah.
Gempa berkenaan berlaku hanya tiga hari selepas Presiden berhaluan kanan, Abelardo de la Espriella, mengangkat sumpah sebagai presiden.
Ia merupakan gempa bumi paling kuat melanda Colombia dalam tempoh hampir 50 tahun.
Pembangkang berhaluan kiri berkata mereka akan mengemukakan usul undi tidak percaya terhadap Beltran kerana mengambil cuti ketika negara masih berdepan krisis akibat bencana itu.
Ramai mangsa gempa kini terpaksa tidur di kawasan terbuka, menggunakan tilam atau tempat tidur sementara selepas kehilangan kediaman mereka.
Bagaimanapun, menteri berkenaan cuba menepis kritikan terhadap perjalanannya itu dengan menulis di X bahawa beliau bukan bercuti, sebaliknya hanya meluangkan beberapa jam bersama isteri dan anak-anak yang tidak ditemuinya selama beberapa hari.
Beliau berkata selepas itu, dirinya serta-merta kembali bertugas bagi menguruskan usaha pembinaan semula kawasan yang terjejas akibat gempa.
Seminggu selepas bencana itu berlaku, harapan untuk menemukan mangsa yang masih hidup di bawah runtuhan semakin tipis.
Tumpuan kini beralih kepada krisis kemanusiaan yang semakin meruncing di jalan-jalan raya di Cali, Pereira serta kawasan lain yang terjejas akibat gempa, dan kini berubah menjadi kem pelarian terbuka.- AFP




