PETALING JAYA: Pelakon,Hisyam Hamid, mendedahkan bahawa pengalaman bekerja sebagai bomba suatu ketika dahulu banyak mengajarnya dalam mengurus emosi bagi menghadap sebarang kemungkinan yang akan berlaku.
Hisyam Hamid, 41, berkata, cara berfikir yang dipelajari sewaktu bertugas dalam pasukan keselamatan itu masih digunakan sehingga hari ini.
“Semasa berkhidmat sebagai anggota bomba dahulu, kami dilatih untuk sentiasa bersiap sedia menghadapi apa-apa kemungkinan apabila memberi respon terhadap sesuatu insiden. Bersedia untuk kes kebakaran besar atau kepala terputus supaya mental kami juga bersedia jika perkara itu berlaku.
“Benda itu sudah sebati dalam diri saya dan saya tidak pasti sama ada ia sesuatu yang baik atau tidak tapi saya kerap gunakannya dalam kehidupan seharian. Saya rasa ia banyak membantu dari segi mengurus jangkaan,” katanya menerusi satu hantaran di Threads miliknya.
Hisyam berkata, persediaan mental sangat penting supaya seseorang tidak terkejut jika ditimpa masalah secara tiba-tiba.
“Sekiranya perkara terburuk benar-benar terjadi, sekurang-kurangnya kita sudah bersedia dari segi mental,” katanya.
Untuk rekod, sebelum aktif berlakon di Malaysia, pelakon asal Singapura ini pernah bekerja sebagai anggota bomba di Angkatan Pertahanan Awam Singapura (SCDF) selama lapan tahun.





