TANJUNG MALIM: Peps Sanly JV Sdn. Bhd. melabur RM10 juta bagi kilang pemasangan komponen casis iaitu penjuru kereta depan, rangka kecil dan gandar bagi kereta Proton Saga AMA01, Persona dan Iriz sebagai pembekal utama kepada pengeluar kereta nasional pertama negara itu.
Menurut Pengarah Peps Sanly JV Sdn. Bhd., Hamidon Abdullah, kilang tersebut dibangunkan dengan jumlah pelaburan sebanyak RM9.5 juta selain terletak di atas kawasan tanah seluas 9,909 meter persegi.
“Fasiliti ini mula beroperasi pada Oktober 2025 dan berkeupayaan menghasilkan 40,000 set komponen kereta sebulan atau sehingga 480,000 set komponen kereta setahun.
“Ia akan melaksanakan pengeluaran secara tempatan bagi pemasangan komponen casis iaitu penjuru kereta depan, rangka kecil dan gandar bagi kereta Proton Saga AMA01, Persona dan Iriz serta model AMA02 dan AMA05 keluaran akan datang,” katanya di kilang tersebut di sini hari ini.
Terdahulu, Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Industri, Pelaburan dan Pembangunan Koridor Perak, Loh Sze Yee merasmikan kilang tersebut yang mencerminkan perkembangan berterusan sektor automotif di Lembah Teknologi Tinggi Automotif (AHTV) di Tanjung Malim.
Hamidon berkata, pembukaan fasiliti tersebut menandakan satu lagi langkah ke hadapan dalam kerjasama dengan Proton yang telah terjalin hampir empat dekad.
“Dengan bekerjasama dengan Sanly yang mempunyai hubungan kukuh dengan Geely dan pengeluar peralatan asal (OEM) lain dari China, kami memperoleh pendedahan secara langsung kepada ekosistem pembuatan maju China serta struktur kosnya yang kompetitif.
“Ini meletakkan kami pada kedudukan yang lebih baik untuk menyokong Proton melalui kecekapan kos yang dipertingkatkan dan jaminan kualiti yang lebih kukuh,” katanya.
PEPS Sanly JV merupakan kilang kerjasama strategik EP Manufacturing Bhd. (EPMB) – syarikat tempatan dan Sanly Auto Parts Co Ltd dari China yang mempunyai kepakaran dalam kerja logam, pemasangan dan sistem brek.
Bagi Sze Yee, fasiliti itu membuka peluang pekerjaan kepada 74 pekerja warga tempatan selain mencerminkan perkembangan berterusan sektor automotif di Perak serta peningkatan aktiviti dalam ekosistem automotif di Tanjung Malim. – UTUSAN






