KUALA LUMPUR: Perbincangan politik membabitkan persediaan Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka kini mula digerakkan menerusi siri pertemuan awal antara PKR dan Barisan Nasional (BN).
Ketua Penerangan PKR, Datuk Seri Fahmi Fadzil berkata, kepemimpinan PKR menyambut baik kenyataan Pengerusi BN, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi serta Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Ab Rauf Yusoh berhubung kesediaan mengadakan perbincangan awal dengan semua parti.
“Pengerusi PKR Melaka, Adam Adli telah mengadakan beberapa perbincangan di peringkat negeri.
“Kami juga menyambut baik sikap terbuka BN untuk berbincang bukan sahaja berkaitan Melaka tetapi juga kerusi-kerusi peringkat Persekutuan,” katanya.
Beliau berkata demikian semasa sidang akhbar selepas Program Ekspresi Jalur Gemilang Japen@Petronas di Stesen Petronas NPE Pantai Dalam, di sini hari ini.
Mengulas lanjut, Fahmi berkata, PKR menyerahkan perincian dan rundingan rasmi kepada Naib Presiden PKR, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail yang kini menjalankan tugas Timbalan Presiden serta Pengarah Pilihan Raya parti, Datuk Seri Amirudin Shari.
“Walaupun tempoh pembubaran Dewan Undangan Negeri (DUN) dan tarikh kempen belum diketahui, persediaan peringkat parti sudah bermula termasuk mengenalpasti calon serta pengerusi jawatankuasa,” katanya.
Dalam pada itu, menyentuh isu tuntutan penambahan kerusi Parlimen di Sarawak, Fahmi mengesahkan perkara tersebut telah diusulkan dalam mesyuarat Jemaah Menteri baru-baru ini.
Menurut beliau, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim komited untuk melaksanakan cadangan itu dan telah meminta Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menyediakannya dengan segera.
“Komitmen Perdana Menteri adalah untuk melaksanakan namun ada beberapa proses teknikal di pihak SPR yang perlu kita tunggu sebelum laporan mutahir dibentangkan,” katanya. –UTUSAN





