KUALA LUMPUR: Pelakon dan penyanyi, Qi Razali teruja kerana impiannya untuk menjadi seorang pengarah bakal menjadi kenyataan.
Tampil dengan sebuah filem pendek, Qi atau nama sebenarnya Qushairi Mohammed razali memaklumkan perkara itu merupakan antara tiga cita-cita yang masih belum kesampaian.
”Filem ini adalah hasil kerjasama dengan kawan-kawan yang bersama saya, melalui fasa turun naik dengan saya.
“Ia berkisarkan kumpulan baharu yang saya tubuhkan. Masih dalam perancangan, belum ada tarikh bila filem ini bakal dikeluarkan. Namun saya akan muat naik di platform digital.
”Impian ini saya simpan lama, saya nak capai sebelum usia 50 ,” katanya pada majlis sambutan hari jadinya semalam.
Qi dalam masa yang sama telah menubuhkan sebuah kumpulan baharu yang dianggotai bekas ahli kumpulan O.A.G.
“Kumpulan ini memperjuangkan genre yang lebih kurang sama dengan O.A.G. Bersamanya saya bercadang untuk tampil dengan sebuah album baharu,” katanya.- UTUSAN





