MARANG: Terengganu Incorporated Sdn. Bhd. (Terengganu Inc.) memperuntukkan RM75,000 bagi menyokong pembangunan bakat pelajar dalam bidang aeroangkasa, teknologi dan sistem tanpa pemandu di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Bukit Sawa, di sini.
Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Terengganu Inc., Datuk Burhanuddin Hilmi Mohamed @ Harun berkata, sokongan itu merupakan sebahagian daripada tanggungjawab sosial korporat (CSR) syarikat untuk memberi pendedahan kepada pelajar terhadap teknologi berimpak tinggi sejak di bangku sekolah.
Katanya, kemampuan pelajar menerusi Kelab Aeronautik membangunkan dan mengendalikan sistem pesawat tanpa pemandu (UAV), termasuk aspek avionik, pengaturcaraan dan kawalan penerbangan, amat membanggakan.
“Apabila kita melihat persembahan mereka, mereka sudah mempunyai sistem bersepadu, avionik dan mampu mengawal sistem itu.
“Pelajar tingkatan dua dan tiga mampu mengawal, menerbangkan, memprogramkan serta menyelaras sistem. Itu sudah berada pada tahap yang tinggi,” katanya ketika ditemui pada Program Terengganu Inc.-SMK Bukit Sawa: Pameran Nasional Aeroangkasa, Teknologi dan Bakat, di sini.
Menurutnya, pendedahan itu memberi kelebihan kepada pelajar sekiranya mereka memilih untuk menceburi kerjaya dalam industri aeroangkasa, bahan komposit atau UAV pada masa hadapan.
Katanya, pengalaman mengendalikan teknologi sejak usia muda membolehkan mereka memahami sistem secara lebih menyeluruh, bukan sekadar teori.
“Kalau mahu bekerja dalam bidang komposit atau UAV di mana-mana syarikat nanti, mereka sudah mempunyai asas dan boleh memahami keseluruhan sistem.
“Yang penting, apabila diberi peluang, mereka menggunakannya sebaik mungkin,” katanya. – UTUSAN






