KUANTAN: Usia 71 tahun bukan penghalang bagi Kelthum Awang Ngah untuk terus turun ke laut mencari rezeki. Malah, setiap kali melihat pantai, wanita itu seolah-olah mendapat kekuatan untuk meneruskan kehidupan.
Lebih 25 tahun laut menjadi sebahagian daripada rutin hidupnya, bermula ketika bersama arwah suami sebelum diteruskan bersama anak dan nelayan lain.
Menurut Kelthum, laut bukan sekadar tempat mencari rezeki, sebaliknya menjadi sebahagian daripada kehidupannya yang menyimpan pelbagai kenangan, termasuk kehilangan insan tersayang.
“Kalau sehari tidak tengok laut, rasa macam tidak boleh. Selagi badan masih kuat, mak cik akan turun ke laut mencari rezeki,” katanya.
Ketika bersama arwah suami dahulu, mereka menggunakan bot sendiri untuk keluar menangkap ikan.
Namun, kira-kira tujuh tahun lalu, laut yang selama ini menjadi sumber rezeki bertukar menjadi tempat menyimpan kenangan paling pahit apabila anaknya hilang ketika keluar menangkap ikan dan sehingga kini tidak ditemukan.
“Dulu mak cik pergi dengan arwah suami. Selepas suami meninggal, pergi pula dengan arwah anak. Anak mak cik hilang di laut dan sampai sekarang tidak dijumpai. Semasa kejadian itu, dia seminggu lagi hendak berkahwin,” katanya.
Walaupun kehilangan itu meninggalkan kesan mendalam, Kelthum tidak memilih untuk menjauhkan diri daripada laut.
Sebaliknya, dia terus turun bersama nelayan lain dan kadangkala ditemani sepupunya bagi mendapatkan hasil tangkapan.
Dia menggunakan jala untuk menangkap udang, manakala pukat digunakan bagi mendapatkan ikan sebelum hasil berkenaan diproses menjadi ikan masin untuk dijual.
Menurutnya, ikan masin menjadi antara sumber pendapatannya selain hasil jualan terus kepada pelanggan dan tempahan pelanggan tetap.
“Ada pelanggan yang memang selalu tempah. Kadangkala mak cik hantar ke Pasar Peramu atau Pasar Besar Kuantan,” katanya.
Katanya, apabila laut bergelora dan tidak dapat turun ke laut, dia tetap berada di tepi pantai sambil berdoa agar roh anaknya tenang.
“Laut bagi mak cik ada 1,001 rasa yang sukar hendak diungkapkan. Ada kenangan, ada kesedihan dan ada rezeki. Kalau laut bergelora, mak cik duduk di tepi laut, melihat laut sambil berdoa supaya roh anak mak cik tenang dan dosanya diampunkan Allah SWT,” katanya. – UTUSAN






