PETALING JAYA: Struktur program di peringkat ijazah yang kebiasaannya merangkumi 120 jam kredit perlu diperuntukkan antara 30 hingga 40 peratus elemen Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET), latihan industri serta pembelajaran berasaskan amali.
Pakar pendidikan tinggi, Prof. Datuk Dr. Azizul Halim Yahya berkata, semakan tersebut penting bagi memberi penekanan terhadap kemahiran teknikal dan praktikal demi memenuhi keperluan sebenar industri.
Malah katanya, langkah tersebut penting bagi memastikan siswazah bukan sahaja memiliki kelayakan akademik tetapi mempunyai kemahiran yang diperlukan untuk memasuki pasaran pekerjaan.
“Kalau biasanya 120 jam kredit dalam sesuatu program ijazah, kita perlu tambah dengan menjadikan 30 ke 40 peratus daripada jumlah keseluruhan tersebut kepada elemen TVET dan latihan praktikal untuk nilai tambah kemahiran serta pengalaman praktikal.
“Malah, tidak salah sekiranya konsep TVET juga ditekankan kepada universiti awam (UA) kerana ia satu konsep yang bagus kerana kebanyakan pelajarnya lepas kerja boleh berdikari dan ada kemahiran,” katanya kepada Nexbyte semalam.
Kelmarin, akhbar ini melaporkan Presiden Majlis Belia Malaysia (MBM), Izzat Afifi Abdul Hamid berkata, seramai 25,783 calon lepasan Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) dan setara tidak mendapat tawaran memasuki 20 universiti awam bagi sesi akademik 2026/2027.
Jumlah itu adalah baki daripada 107,875 permohonan yang diterima menerusi sistem UPUOnline dengan 82,092 calon atau 76.1 peratus ditawarkan ke program ijazah sarjana muda.
Selain STPM, pelajar tersebut melibatkan lepasan matrikulasi, asasi, Sijil Tinggi Agama Malaysia (STAM) dan diploma yang mengemukakan permohonan melanjutkan ke pengajian universiti awam pada April lalu.
Dalam pada itu, Azizul Halim berkata, untuk bergerak ke arah tersebut, Agensi Kelayakan Malaysia (MQA) juga perlu bersama-sama memainkan peranan dalam memastikan semua silibus di Institusi Pengajian Tinggi Awam (IPTA) dan Institusi pengajian Tinggi Swasta (IPTS) mengikut keperluan industri.
Malah katanya, MQA tidak boleh mengongkong universiti untuk mengetengahkan silibus baharu dan berkembang demi keperluan semasa pelajar.
“MQA tidak boleh dengan idealisme lama kerana zaman kini bergerak pantas,” jelasnya.
Menurut Azizul Halim lagi, institusi TVET dalam masa yang sama perlu diangkat dan diletakkan setaraf dengan universiti awam (UA) dari segi pengiktirafan, penghormatan masyarakat serta peluang pendidikan dan kerjaya.
Katanya, pendekatan itu juga dapat mengubah persepsi masyarakat yang masih menganggap pendidikan akademik di universiti awam (UA) lebih tinggi berbanding TVET.
Menurutnya, masyarakat tidak seharusnya menganggap pelajar yang memilih laluan TVET sebagai golongan yang kurang cemerlang dalam akademik.
“TVET bukan laluan untuk pelajar yang tidak bagus. TVET ialah satu bentuk pendidikan yang mempunyai kekuatan tersendiri kerana ia menggabungkan ilmu dengan kemahiran.
“Pelajar bukan sahaja belajar secara teori, tetapi mereka juga mendapat pengalaman melakukan sesuatu secara praktikal. Selepas tamat pengajian, mereka mempunyai kemahiran yang boleh terus digunakan dalam pekerjaan,” katanya.






