HAT YAI (THAILAND): Pihak berkuasa Thailand merampas lebih 205 kilogram syabu bernilai RM12.26 juta yang akan diseludup ke Malaysia dan menahan empat anggota sindiket dadah rentas sempadan di Wilayah Songkhla pada Jumaat dan Ahad lalu.
Operasi memintas penghantaran dadah itu dilancarkan hasil risikan Bahagian Pembanterasan Narkotik Polis Wilayah 9, Balai Polis Hat Yai dan Lembaga Kawalan Narkotik Wilayah 9, yang mendapati sindiket terbabit menggunakan kurier sebagai alat pengangkutan.
Jurucakap Bahagian Pembanterasan Narkotik Polis Wilayah 9 berkata, kes bermula pada 14 Ogos apabila pihaknya menerima maklumat penghantaran beberapa bungkusan disyaki dadah menggunakan perkhidmatan syarikat kurier.
Katanya, pihak berkuasa kemudian menyelaraskan langkah mengesan dan memerhati suspek sebelum menahannya kira-kira pukul 9.30 pagi Jumaat lalu ketika dia sedang mengambil bungkusan di sebuah syarikat kurier di Mukim Ban Phru, Daerah Hat Yai, menggunakan sebuah pikap.
“Setelah pemeriksaan, pihak berkuasa menemukan beberapa bungkusan mengandungi 205 kilogram syabu. Suspek kemudian ditahan bagi mengenal pasti anggota rangkaian lain.
“Siasatan lanjut membawa kepada penangkapan dua lagi suspek di kediaman mereka di Mukim Khuan Lang, Daerah Hat Yai. Suspek pertama yang ditahan bertanggungjawab menghantar dadah berkenaan kepada kedua-dua suspek itu,” katanya ketika dihubungi semalam. – UTUSAN






