Petang di Kampung Pengkalan Batu tidak pernah benar-benar mati, meskipun arus pemodenan perlahan-lahan menelan suasana tenang yang membalut perkampungan ini sejak puluhan tahun lampau.
Sungai Kelantan di Kampung Pengkalan Batu tidak lagi menjadi laluan perahu-perahu kecil yang dulu sibuk menangguk etak di celah pasir, atau membawa penumpang ke Seberang Salor, ke Kampung Gertak Lembu, Pendek, dan kampung lain di Seberang Sungai Pasir Mas serta Tendong.
Namun, arus sungai coklat itu tetap mengalir lesu di balik benteng tebing, seolah-olah merakam kisah manusia yang tidak pernah tamat diceritakan. Kampung ini menyimpan seribu satu kenangan manis dan pahit yang tidak mungkin lekang ditelan arus zaman moden yang serba pantas ini.
Di hadapan rumah-rumah kayu yang menghadap tebing sungai, kehidupan terus bergerak mengikut rentaknya dengan keindahan tersendiri. Ada jiran yang pulang dari kebun dengan pakaian berbau selut; ada yang bergegas membersihkan diri selepas menutup jualan di Pasar Tasik Raja; dan tidak kurang juga golongan veteran yang melengkur di pangkin kayu sambil menghirup kopi panas.
Mereka menghabiskan sisa petang membicarakan hal kehidupan, dari isu harga barang, penyakit tua, hinggalah nostalgia zaman silam yang semakin dilupakan. Gersik tayar motosikal dan deruman enjin kereta yang pulang mengejar waktu Maghrib berselang-seli dengan percikan cahaya mesin kimpalan dari bengkel Ah Seng di hujung kampung. Bagi penduduk tempatan, segala bunyi-bunyian itulah denyut nadi kebiasaan mereka sehari-hari.
Namun petang itu, bagi Jamil, seluruh bunyi kampung terasa amat jauh dari pendengarannya. Seolah-olah ada suara ghaib yang memanggil namanya berulang kali dari ceruk belakang rumah pusaka peninggalan orang tuanya, seakan-akan ada satu amanah besar yang sedang menanti untuk diselesaikan dengan penuh kesabaran.
Jamil berdiri kaku di beranda lama. Tangan kasarnya memegang erat tiang kayu cengal yang kukuh. Matanya terpaku pada sebuah bangsal kecil beratap zink berkarat di hujung halaman.
Dinding papannya sudah menghitam dimakan hujan dan panas terik. Walaupun kelihatan usang, bagi Jamil, bangunan itulah yang menyimpan seribu rahsia, aroma budu yang mendamaikan jiwa, dan paling utama, maruah keluarganya yang sangat dihormati oleh penduduk kampung.
Di dalam bangsal itulah terletaknya deretan tempayan tanah liat tua. ‘Budu Tempayan’ mungkin sekadar nama bagi orang luar, tetapi bagi Jamil, ia seluruh sejarah darah dagingnya.
Ada tempayan yang pernah diusap oleh arwah datuknya, yang disental bersih oleh arwah ibunya, dan sebuah tempayan naga bercorak timbul yang menjadi saksi arwah bapanya mengira sekeping-sekeping duit hasil jualan. Duit itulah yang dibeli beras dan membesarkan anak-anaknya dengan penuh keberkatan.
Tiba-tiba, kedamaian petang itu direntap dengan kejam. PRAAKKK!
Satu dentuman keras membelah petang yang hening. Jamil tersentak gila. Bulu romanya meriding serta-merta. Tanpa mempedulikan rintik hujan yang mula mencurah lebat, dia melompat turun dari anak tangga serambi. Kakinya bertelanjang memijak tanah lembik, lecah melangkah laju bergegas ke arah bangsal di hujung halaman.
Apabila pintu bangsal dibuka, langkahnya terhenti kaku. Udara di dalam bangsal terasa membeku. Di atas lantai simen, tempayan naga berusia lebih setengah abad itu terbaring pecah pada bahagian labunya. Serpihan coklat tua bertaburan gila. Cecair budu pekat hitam yang diperam berbulan-bulan mengalir keluar dari rekahan, melimpah di lantai bagai darah daripada tubuh yang kehilangan nyawa. Aroma masin ikan bilis dan garam yang sangat kuat menyerbu deria hidungnya.
Jamil melutut perlahan di atas cecair itu. Jemarinya yang gementar menyentuh serpihan tempayan tanah liat yang dingin. Terasa seolah-olah dia menyentuh tapak tangan bapanya yang sudah lama pergi.
Mata Jamil dihenyak kenangan silam yang bertali arus. Dia melihat bayangan bapanya yang gagah memikul ikan bilis segar dari jeti, ibunya tersenyum dengan tangan berbau hanyir garam, dan dirinya sewaktu kecil yang berlari di halaman. Ketika itu dia tidak mengerti dalam setiap titisan budu itu tersimpan peluh, air mata, dan pengorbanan yang tidak ternilai dengan wang ringgit.
“Jamil… jangan pandang budu ini sekadar makanan pencicah. Dalam setiap titis budu ini, ada maruah dan cerita hidup manusia,” suara arwah bapanya kembali bergema di cuping telinga. Air mata Jamil menitis laju, meratapi rapuhnya sebuah warisan agung.
Empat tahun lalu, selepas bersara awal dari kerjaya selesa di Kuala Lumpur, Jamil membuat keputusan gila. “Aku balik sebab ada cerita keluarga yang belum selesai,” tegasnya. Dia membina semula Kilang Budu Tempayan dan menanam pokok limau kerat lintang. Namun petang ini, apabila tempayan ibu itu berkecai, dadanya dihimpit ketakutan. Bagaimana jika suatu hari nanti, tiada lagi manusia yang peduli mengapa warisan ini pernah bernilai?
Malam melabuhkan tirainya dengan kelam. Di dalam rumah, Jamil masih terpegun menyusun cebisan tempayan naga di atas meja, bagai mencantum semula kenangan yang hancur berderai.
“Abang masih fikirkan tempayan itu?” Suara lembut Mak Yam memecahkan keheningan malam. Isterinya membawa secawan kopi panas. Dialah tulang belakang yang menyokong Jamil sewaktu perniagaan merudum teruk.
“Bukan pasal tempayan itu, Yam. Abang sedih sebab tempayan itu membawa seluruh cerita hidup arwah bapak,” bisik Jamil dengan suara parau.
“Bang, kalau tempayan itu pecah, cerita bapak tidak semestinya akan pecah bersama. Nilainya ada pada abang,” balas Mak Yam lembut, menggenggam erat tangan suaminya dengan penuh kasih.
“Abang takut suatu hari nanti tiada siapa mahu meneruskan semua ini.” Mereka membisu, masing-masing membayangkan anak tunggal mereka, Faiz. Semakin tinggi pangkat Faiz di bandar raya, semakin asing jiwanya dengan bau ikan bilis dan garam kampungnya.
Beberapa hari kemudian, Faiz pulang ke kampung. Penampilannya kemas bersut moden, sangat kontras dengan persekitaran kampung. Dunia Faiz kini adalah dunia pendingin udara, mesyuarat korporat, dan angka perniagaan jutaan ringgit.
“Lama ayah tunggu kamu balik,” tegur Jamil, cuba mengukir senyuman. “Faiz… sejujurnya ayah perlukan tenaga kamu untuk uruskan kilang budu kita ini.”
Suasana mesra menjadi tegang serta-merta. “Ayah, dunia sudah berubah. Orang tak bekerja cara lama yang renyah lagi. Banyak masa terbuang dan keuntungannya tak seberapa. Saya ada perancangan kerjaya sendiri di Kuala Lumpur.”
Jamil menahan diri daripada marah.
“Ayah tidak pernah halang cita-cita kamu. Cuma… ada perkara dalam hidup ini yang tak boleh dibeli dengan wang ringgit.”
“Budu ini?” Soal Faiz sinis dengan kening bertaut.
“Ya. Budu ini. Kerana tidak semua benda bernilai dalam dunia ini boleh dikira dengan keuntungan semata-mata,” balas Jamil tenang namun penuh pendihan. Faiz terdiam. Khabar pecahnya tempayan naga tersebar pantas ke seluruh kampung.
Jamil ke bengkel Ah Seng di hujung kampung untuk mencari ketenangan fikiran.
“Jangan buang serpihan itu, Jamil. Barang lama yang pecah kadang-kadang menyimpan pelajaran berharga yang orang baru belum sempat belajar,” pesan Ah Seng ikhlas.
Rajan, si pengumpul besi jujur, turut menyapa dengan mesra. “Aku boleh tolong kimpalkan rak besi baru untuk kilang kau! Jangan risau pasal duit. Budu kau tu bukan sekadar makanan, tapi identiti kampung kita!” Sokongan ini menyedarkan Jamil bahawa warisan juga dijaga oleh sahabat-sahabat yang berdiri teguh bersama.
Ujian sebenar tiba apabila Datuk Rahman dari sebuah syarikat gergasi melawat kilang Jamil.
“Kita boleh bekerjasama buat duit besar! Kita gunakan pemangkin, singkatkan tempoh pemeraman kepada beberapa minggu, hasilkan puluhan ribu botol, dan kuasai pasaran negara!” Cadang Datuk Rahman penuh optimis.
Namun, cadangan membuang kaedah tradisi dan menggantikan tempayan dengan tangki moden memberatkan dada Jamil.
“Boleh jadi cepat, Datuk, tetapi hasilnya tidak sama. Rasa asli budu tempayan lahir daripada masa dan kesabaran. Kalau kita korbankan kejujuran rasa demi pengeluaran, kita hanya menjual nama, bukannya warisan,” tegas Jamil menolak mentah-mentah tawaran bernilai ratusan ribu ringgit itu.
Faiz meradang mendengar keputusan itu. “Kenapa ayah lepaskan peluang sebesar gunung itu? Ayah masih berfikir macam orang zaman purba!”
“Ayah membuat pilihan mempertahankan maruah. Faiz ikut ayah ke bangsal esok pagi,” balas Jamil penuh kasih sayang tanpa sekelumit kemarahan.
Keesokan paginya, Faiz berdiri di bangsal. Buat pertama kali, dia menyelami jiwa bapanya. Jamil menunjukkan proses peraman penuh cermat. Memilih ikan bilis segar, menimbang sukat garam, dan menyental tempayan penuh sabar.
“Kenapa ayah buat semua ini dengan rumit?” Tanya Faiz, nadanya melembut melihat peluh bapanya.
“Sebab pembeli tak nampak proses penat lelah di belakang rumah. Mereka hanya nampak hasil akhir. Tugas kita memastikan apa yang suap ke mulut mereka datang daripada proses yang paling jujur,” jawab Jamil ikhlas.
Faiz merenung tangan bapanya yang berbau hanyir garam. Tiba-tiba dadanya tersentak hebat. Bau yang pernah memalukannya sewaktu diejek rakan sekolah dahulu sebenarnya adalah bau pengorbanan agung seorang ayah yang membesarkannya dengan penuh penat lelah.
Petang itu, seorang pelanggan dari Perak singgah membeli budu di kilang mereka.
“Budu resipi ayah kamu ini sahajalah yang ada rasa asli sama seperti budu arwah ibu saya dulu. Bila saya makan, saya rasa macam ibu masih hidup di sebelah. Makanan ini masuk terus ke dalam ingatan,” kata lelaki tua itu sayu. Kata-kata pelanggan itu menggoncang jiwa kesombongan Faiz.
Malam itu, Faiz duduk bersila di hadapan bekas letaknya tempayan naga bersama bapanya.
“Ayah… saya faham sekarang. Ia bukan pasal harga tempayan tanah liat itu, tapi ia menyimpan jiwa dan cerita manusia,” kata Faiz perlahan dengan penuh keinsafan.
“Kalau saya gunakan kepakaran teknologi saya untuk pemasaran digital, tapi kita kekalkan kaedah peraman tradisi ayah… ayah setuju tak?”
Jamil tersenyum lebar penuh kesyukuran. “Itulah doa yang ayah panjatkan siang dan malam, Faiz. Ayah mahu kita melangkah maju tanpa menjadi orang asing kepada asal usul kita sendiri.”
Beberapa bulan berlalu, Kilang Budu Tempayan berubah menjadi manifestasi gabungan dua zaman yang sangat indah. Di tangan Faiz, jenama ini menular di seluruh negara melalui pemasaran digital, manakala kualiti tradisional dipertahankan dengan tegas. Ah Seng dan Rajan membantu membina rak besi yang kukuh.
Serpihan tempayan naga tidak dibuang ke longkang. Jamil dan Faiz mencantumkannya semula menggunakan gam khas bercampur serbuk warna emas. Sesuatu yang retak dan pecah tidak semestinya hilang nilai, melainkan menjadi saksi keindahan sejarah, kecekalan perjuangan, dan kebangkitan semula yang gemilang.
Sebagai tanda syukur tidak terhingga, satu kenduri doa selamat kecil-kecilan diadakan di halaman rumah. Ah Seng, Rajan, dan seluruh penduduk kampung hadir memeriahkan.
“Jangan lupa, makan budu mesti ada petai dan ulam yang banyak!” Laung Rajan riang disambut gelak tawa tetamu.
Di atas meja kayu panjang, hidangan tradisional kampung tersaji harum. Nasi putih berasap panas, ikan Kembung bakar tawar, ulam pucuk Jenerih, dan budu tempayan dicampur durian serta perahan air limau kerat lintang membuka selera semua yang hadir.
Jamil memandang keluarganya dan sahabat-sahabat sejatinya dengan mata berkaca-kaca penuh rasa terharu.
Di belakang mereka, Sungai Kelantan terus mengalir tenang membelah kegelapan malam. Jamil menarik nafas lega. Dia kini tahu pasti, selagi wujud manusia yang ikhlas menghargai kejujuran dan ingatan, warisan berharga mereka tidak akan pernah pecah ditelan rakusnya zaman. Warisan bangsa adalah jiwa yang tidak ternilai harganya sampai bila-bila.-UTUSAN





