MARANG: Pas yang menerajui Perikatan Nasional (PN) yakin tiada tindakan pemimpin gabungan itu melanggar perlembagaannya sehingga boleh mengakibatkannya digantung Jabatan Pendaftaran Pertubuhan (RoS).
Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang berkata, tiada bukti atau hujah kukuh yang boleh membawa kepada tindakan penggantungan PN.
“Sehingga kini tiada bukti, tiada hujah untuk gantung PN,” katanya selepas menyampaikan kuliah duha di Masjid Rusila di sini, semalam.
Terdahulu, Nexbyte melaporkan, kepimpinan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) mahu PN digantung oleh RoS dan tindakan itu boleh menyebabkan parti komponen dalam gabungan berkenaan tidak lagi boleh menggunakan lambang PN pada pilihan raya akan datang.
Pada Selasa lalu, RoS mengesahkan menerima aduan rasmi daripada Bersatu antaranya dakwaan parti itu tidak dilibatkan dalam Mesyuarat Majlis Tertinggi (MT) PN pada 16 Julai lepas termasuk aduan berkaitan kedudukan keanggotaannya dalam gabungan berkenaan.
Menurut RoS, penelitian terhadap aduan yang dibangkitkan ini sedang dilaksanakan berdasarkan Akta Pertubuhan 1966, Peraturan-Peraturan Pertubuhan 1984, perlembagaan pertubuhan yang diluluskan serta rekod rasmi Jabatan.
Ditanya mengenai dakwaan Bersatu tidak dilibatkan dalam Mesyuarat MT PN pada 16 Julai lepas, Abdul Hadi berkata: “Dia lawan parti dia (PN) sendiri, apa maknanya?”
Ahli Parlimen Marang itu merujuk kepada tindakan Bersatu yang bertanding menentang PN dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan pada 1 Ogos lalu.
Namun beliau enggan mengulas lanjut berhubung perkara berkenaan kerana tidak lagi berada dalam Mesyuarat MT PN dan menyerahkannya kepada ahli mesyuarat gabungan tersebut menentukan tindakan selanjutnya.
Sementara itu, ditanya percanggahan kenyataan beliau dan Pengerusi PN, Datuk Seri Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar berhubung keanggotaan Bersatu dalam gabungan berkenaan, Abdul Hadi berkata, beliau hanya mengulas perkara itu dari makna tersirat.
“Jika apa yang Ahmad Samsuri sebut itu dari segi tertulis dalam perlembagaan, saya pula sebut dari segi mafhumnya. Dia Bersatu lawan parti dia PN sendiri, apa maknanya,” katanya.
Mengulas lanjut, Ahli Parlimen Marang itu kemudian menjelaskan, orang ramai boleh memahami kesan tindakan Bersatu bertanding menentang sekutu PN sendiri dalam PRN Negeri Sembilan.
Sebelum ini, Abdul Hadi mendakwa keanggotaan Bersatu dalam PN gugur secara automatik susulan pengumuman Presiden Bersatu, Tan Sri Muhyiddin Yassin mengenai hasrat membentuk gabungan politik baharu.
Bagaimanapun, Ahmad Samsuri dilaporkan berkata, kedudukan Bersatu dalam gabungan itu belum berubah walaupun timbul dakwaan keanggotaan parti berkenaan gugur susulan hasrat mahu membentuk gabungan politik baharu.
Mengenai dakwaan ada ahli Pas menyertai Parti Bersama Malaysia (Bersama), beliau berkata tiada maklumat mengenainya.-UTUSAN






