Soalan:
Saya dapat panggilan dari sekolah. Anak umur 10 tahun menampar rakan sekelas. Kata cikgu, pelajar tersebut niat bergurau dengan menyorok buku anak. Jadi dia membalas dengan menampar pelajar tersebut. Cikgu juga cakap anak tertekan kerana bakal dikenakan tindakan disiplin.
Ibu risau
Jawapan:
Mendidik anak pada masa kini menjadi cabaran kepada ibu bapa. Anak yang terlalu berlembut mungkin mudah terdedah kepada gangguan rakan, manakala tindakan membalas dengan cara yang salah pula boleh menyebabkan masalah disiplin. Oleh itu, ibu bapa perlu memahami situasi, emosi dan membantu anak belajar mengurus konflik dengan cara yang lebih baik. Berikut beberapa panduan untuk ibu bapa:
Bersikap tenang
Elakkan terus memarahi atau menghukum anak ketika emosi anda masih tinggi. Beri ruang untuk diri bertenang supaya perbualan dapat dilakukan dalam keadaan yang lebih terbuka dan positif apabila bersama anak.
Dengar penjelasan anak
Tanya anak tentang apa yang berlaku dari sudut pandangannya. Fahami emosi yang dirasai ketika kejadian berlaku, seperti rasa marah, malu, kecewa atau tertekan. Ini membantu anak merasakan dirinya didengari dan difahami, bukan terus dihukum.
Bantu anak memahami tindakan betul
Jelaskan memukul atau menampar bukan cara yang betul untuk menyelesaikan masalah walaupun anak berasa tidak selesa dengan tindakan rakan. Ajarkan cara lain seperti berkomunikasi, meminta bantuan guru atau meluahkan perasaan dengan cara yang lebih baik.
Kenal pasti punca di sebalik tingkah laku
Tingkah laku agresif kadangkala boleh menjadi tanda anak sedang mengalami tekanan, kesukaran mengawal emosi atau menghadapi cabaran tertentu di sekolah. Cuba fahami jika terdapat faktor lain yang mempengaruhi keadaan emosi anak.
Bekerjasama dengan pihak sekolah
Berbincang dengan guru untuk mendapatkan gambaran yang lebih jelas tentang keadaan anak di sekolah, termasuk interaksi dengan rakan, perubahan tingkah laku atau perkara yang mungkin menyebabkan tekanan.
Pertimbangkan sokongan kaunseling
Sesi kaunseling bukan bermaksud anak bermasalah, tetapi satu ruang untuk membantu anak memahami emosi, membina kemahiran kawalan diri dan belajar mengurus konflik dengan lebih baik.
Kesimpulan, tingkah laku anak perlu dilihat sebagai peluang untuk membimbing, bukan sekadar menghukum. Dengan sokongan ibu bapa dan sekolah, anak dapat belajar mengurus emosi serta menyelesaikan konflik dengan lebih baik.






