MERSING: Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Zon Mersing menahan enam kru vesel nelayan tempatan (VNT) kerana disyaki terlibat dengan penyalahgunaan dadah di kedudukan 3.3 batu nautika Timur Laut Tanjung Kempit, semalam.
Pengarah Zon Maritim Mersing, Komander Maritim Suhaizan Saadin berkata, semua suspek ditahan pada pukul 10 pagi selepas ujian saringan air kencing mendapati mereka positif dadah jenis amphetamine dan methamphetamine.
“Hasil pemeriksaan lanjut turut menemui dua tiub plastik lutsinar berisi hablur putih dipercayai dadah jenis syabu seberat 0.73 gram milik salah seorang kru,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Enam kru terbabit adalah lelaki berusia 21 hingga 52 tahun, semuanya warga Laos yang bekerja sebagai kru bot nelayan tempatan dan dibawa ke Zon Maritim Mersing untuk siasatan lanjut di bawah Akta Dadah Berbahaya 1952 dan Akta Imigresen 1959/63.
Suhaizan menyeru komuniti maritim menyalurkan maklumat jenayah dan salah laku menerusi talian kecemasan 999 atau Pusat Operasi Maritim Negeri Johor di 07-2199404.
Terdahulu, Zon Maritim Mersing menerima lawatan rasmi Pengarah AADK Johor, Mohd. Faisal Maksom bersama Ketua Pegawai AADK Mersing, Zaleha Abdullah bagi memperkukuh kerjasama penguatkuasaan dan pencegahan dadah dalam komuniti nelayan. – UTUSAN






