PETALING JAYA: Tindakan polis mengekori sebuah lori hingga ke sebuah premis di Jalan Selatan 21, Pandamaran Klang membongkarkan kegiatan seludup minyak diesel dan aktiviti perlombongan bitcoin pada Selasa lalu.
Menerusi rondaan Op Taring Landai bil 28/2025 pada pukul 3 pagi oleh Pasukan Polis Marin telah terserempak dengan sebuah lori dalam keadaan mencurigakan.
Komander PPM Wilayah Satu, Asisten Komisioner Rusley Chi Ari berkata, pasukan serbuan mengekori lori terbabit sehingga masuk ke sebuah kawasan berpagar di Jalan Selatan 21, Pandamaran Klang.
Menurutnya, polis kemudian menahan seorang lelaki tempatan dan lelaki warga Bangladesh berusia 21 dan 35 tahun.
“Hasil pemeriksaan yang dibuat di tempat serbuan mendapati lori itu membawa minyak diesel yang diperoleh secara tidak sah dengan mengubah suai bahagian ruang belakang dengan meletakkan tangki IBC.
“Lori itu juga sedang memindahkan minyak di mana hasil pemeriksaan di dalam kawasan serbuan menjumpai dua buah tangki skid yang diubahsuai untuk digunakan sebagai tempat penyimpanan sementara minyak diesel,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Rusley berkata, pasukan serbuan juga membuka sebuah pintu zink bersebelahan dengan stor minyak menggunakan kunci dimiliki oleh penjaga stor dan menjumpai mesin bitcoin yang sedang beroperasi sebanyak 78 buah dan dipercayai dioperasikan secara tidak sah dengan mencuri bekalan elektrik dari pencawang yang berhampiran.
“Suspek bersama barangan dirampas bernilai RM312,840.
“Kes disiasat mengikut Seksyen 5 Akta Kawalan Bekalan, ketirisan subsidi minyak diesel, Akta Bekalan Elektrik 1990 bagi rangkaian perlombongan mesin bitcoin secara tidak sah dan Akta Imigresen 6(3) 1959 kerana tinggal di Malaysia tanpa permit yang sah,” jelasnya. – UTUSAN





