PETALING JAYA: Polis Diraja Malaysia (PDRM) mengalu-alukan sebarang maklumat daripada orang awam bagi membantu proses pencarian bekas suami dan anak M. Indira Gandhi.
Ketua Polis Negara, Datuk Seri Mohd. Khalid Ismail berkata, segala maklumat yang diterima akan diteliti secara profesional dan tindakan akan diambil mengikut prosedur siasatan yang berkuat kuasa.
Katanya, PDRM akan terus memberikan kerjasama penuh demi memastikan setiap tindakan berkaitan dilaksanakan dengan integriti, profesionalisme dan selaras dengan kehendak undang-undang.
“PDRM memberi komitmen untuk sentiasa menghormati dan mematuhi arahan mahkamah, termasuk melaksanakan langkah berterusan bagi mengesan anak Indira Gandhi mengikut lunas undang-undang,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini
Mohd. Khalid berkata, satu perjumpaan antara PDRM bersama Indira Gandhi juga telah berlangsung di Pejabat Ketua Polis Negara, Bukit Aman, semalam.
Jelasnya, pertemuan itu diadakan pada pukul 4.40 petang yang turut disertai Ahli Parlimen, M. Kulasegaran, aktivis Arun Dorasamy, serta dua anak Indira Gandhi.
“Dalam sesi berkenaan, Kulasegaran memohon agar PDRM memberikan sokongan berterusan kepada Indira Gandhi dalam usaha mengesan anak bongsunya, Prasana Diksa yang masih belum ditemui sejak bertahun lalu.
“Indira Gandhi dan Arun Dorasamy turut menyatakan harapan agar usaha pencarian itu dipergiatkan,” katanya.
Pada 21 November lalu, Mahkamah Tinggi Ipoh memerintahkan usaha mencari K. Pathmanathan atau Muhammad Riduan Abdullah diperluas yang didakwa gagal menyerahkan anak perempuan bongsunya kepada bekas isterinya.
Hakim Datuk Norsharidah Awang berkata, pencarian sepatutnya tidak hanya tertumpu di Kelantan, tetapi seluruh Malaysia.
Pada 2009, Muhammad Riduan menukar agama tiga anak mereka kepada Islam tanpa persetujuan Indira Gandhi dan memohon hak penjagaan melalui Mahkamah Syariah.
Pada 29 Januari 2018, Mahkamah Persekutuan telah memutuskan bahawa penukaran agama ketiga-tiga anak kepada Indra Gandhi oleh bekas suaminya Muhammad Riduan adalah batal dan tidak sah. – UTUSAN




