PETALING JAYA: Polis Diraja Malaysia (PDRM) akan mempergiatkan usaha mengesan keberadaan bekas suami dan anak M. Indira Gandhi berpandukan prinsip kedaulatan undang-undang.
Ketua Polis Negara, Datuk Seri Mohd. Khalid Ismail berkata, PDRM menegaskan komitmen penuh untuk mematuhi keputusan Mahkamah Tinggi Ipoh berhubung kes membabitkan Indira Gandhi.
Katanya, siasatan berpandu penghormatan terhadap institusi kehakiman.
“Usaha mengesan Pathmanathan Krishnan @ Muhammad Riduan Abdullah masih diteruskan.
“Ia termasuk menyiasat dakwaan kewujudan individu yang disyaki menggunakan identiti suspek untuk menerima bantuan kerajaan seperti Budi Madani 95 dan Sumbangan Asas Rahmah (SARA),” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Kata beliau, semakan turut dibuat dengan kerjasama Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) bagi mengesahkan status Sekatan Perjalanan Khas (SPK) yang masih berkuat kuasa terhadap individu berkenaan.
“Sejak 2021, sebanyak 18 sesi pengurusan kes berlangsung di Mahkamah Tinggi Ipoh dan tarikh seterusnya ditetapkan pada 27 Februari 2026,” jelasnya.
Mohd. Khalid berkata, PDRM menegaskan semua tindakan dalam mengendalikan kes itu dilaksanakan secara profesional, telus dan berintegriti bagi memastikan keadilan ditegakkan.
“Orang ramai juga dinasihatkan supaya tidak membuat spekulasi atau menyebarkan maklumat tidak sahih yang boleh menjejaskan siasatan.
“PDRM turut menyeru mana-mana individu yang mempunyai maklumat mengenai keberadaan suspek supaya tampil membantu siasatan di balai polis berdekatan,” katanya.
Pada Sabtu lalu, Indira Gandhi meluahkan rasa kecewa apabila melihat PDRM seolah-olah tidak mengambil sebarang tindakan mencari bekas suaminya.
Pada 21 November lalu, Mahkamah Tinggi Ipoh memerintahkan usaha mencari Muhammad Riduan diperluas yang didakwa gagal menyerahkan anak perempuan bongsunya kepada bekas isterinya.
Hakim Datuk Norsharidah Awang berkata, pencarian sepatutnya tidak hanya tertumpu di Kelantan, tetapi seluruh Malaysia. – UTUSAN





