KUALA LUMPUR: Seorang graduan politeknik Perlis dikenali sebagai Muhammad Faiq, 23, dipercayai menjadi mangsa sindiket pemerdagangan manusia di Jepun.
Menurut ibunya, Noor Zuhaini Ismail, 46, dia sekeluarga terkejut apabila menerima maklumat pagi ini mengenai penahanan anak lelakinya itu bersama wang berjumlah empat juta yen (RM101,411.16) di Balai Polis Toyama Minami, Jepun.
Dia yang berasal dari Terengganu berkata, kali terakhir mereka berhubung dengan Muhammad Faiq pada September lalu.
Katanya, Muhammad Faiq dikatakan telah menaiki penerbangan sehala ke Jepun pada 8 November lalu dan sepatutnya pulang ke tanah air pada 29 November.
Bagaimanapun katanya, tiada khabar berita diterima daripada anak lelakinya itu dan Faiq juga gagal dihubungi sejak 19 November lalu selepas memuat naik lokasi terakhirnya di Tokyo di aplikasi Snapchat, sehinggalah berita penahanannya pagi tadi.
“Kami mendapat maklumat keadaan Faiq di Jepun melalui rakan-rakannya yang menyatakan beliau aktif dalam aplikasi Snapchat sepanjang berada di Jepun sehingga 18 November tahun lepas. Selepas itu dia gagal dihubungi.
“Keluarga diberitahu Faiq akan kembali ke Malaysia pada 29 November namun sehingga hari ini tidak menerima sebarang khabar.
“Kami juga telah membuat laporan polis pada 30 November sebelum kemudian merujuk kepada Wisma Putra pada 8 December lalu,” katanya dalam sidang akhbar di pejabat Pertubuhan Kemanusiaan Masyarakat Antarabangsa Malaysia (MHO), di sini hari ini.
Noor Zuhaini berkata, dia sekeluarga sebelum ini tidak mengetahui Muhammad Faiq ke Jepun kerana mereka hanya diberitahu dia ke Kuala Lumpur untuk bekerja.
“Kami risau apabila menerima maklumat tersebut kerana keluarga hanya mengetahui lokasi penginapan terakhirnya di bandar Sunway,” katanya.
Sementara itu, Setiausaha Agung MHO, Datuk Hishamuddin Hashim berkata, kes membabitkan Muhammad Faiq adalah kes pertama melibatkan sindiket pemerdagangan manusia di Jepun yang dikendalikan MHO sejak tahun 2020.
“Sindiket ini sebenarnya mempunyai corak dan persamaan, mangsa akan direkrut oleh individu yang dikenali untuk peluang pekerjaan di luar negara bagi mengelakkan kecurigaan daripada mangsa-mangsa.
“Mereka yang berada di bawah kawalan sindiket akan kehilangan akses dan komunikasi dengan pihak lain terutama keluarga,” katanya.
Hishamuddin berkata, Muhammad Faiq merupakan bekas pelajar sekolah berasrama penuh (SBP) dan baru menamatkan pengajian diploma di Perlis pada September tahun lalu.
“Sindiket ini sebenarnya tidak memandang latar belakang kita, siapapun boleh menjadi mangsa tidak kira orang berpendidikan ataupun tidak,” katanya. – UTUSAN






