PETALING JAYA: Majoriti kes penipuan pembelian dalam talian di negara ini dikesan melibatkan rangkaian sindiket tempatan yang menggunakan akaun keldai bagi memperdaya mangsa.
Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK), Bukit Aman, Datuk Rusdi Mohd. Isa berkata, bagaimanapun tidak menolak wujudnya kes tertentu yang mempunyai elemen antarabangsa melalui penggunaan infrastruktur digital dan platform luar negara.
Menurut beliau, sindiket terbabit menggunakan pelbagai taktik bagi menyukarkan pihak berkuasa menjejaki suspek.
“JSJK mendapati kebanyakan kes penipuan pembelian dalam talian melibatkan rangkaian tempatan yang menggunakan akaun keldai manakala terdapat juga kes tertentu dipercayai mempunyai kaitan dengan sindiket luar negara melalui penggunaan infrastruktur digital dan platform antarabangsa,” katanya kepada Mingguan Malaysia di sini semalam.
Menurutnya, antara cabaran utama dihadapi pihak polis dalam menjejaki suspek ialah penggunaan identiti palsu serta akaun media sosial sementara bagi mengelak dikesan pihak berkuasa.
Selain itu, katanya, sindiket turut menggunakan akaun keldai yang bertukar ganti dengan pemindahan wang dilakukan secara pantas sekali gus menyukarkan proses pengesanan.
“Transaksi juga melibatkan pelbagai akaun dan platform pembayaran yang memerlukan penelitian terperinci sebelum dapat dikenal pasti,” ujarnya.
Rusdi berkata, penggunaan platform media sosial luar negara turut menjadi cabaran kerana ia memerlukan kerjasama rentas sempadan dengan agensi penguat kuasa di negara lain.
“Dalam sesetengah kes, isu bidang kuasa antarabangsa turut menyukarkan tindakan segera sekiranya suspek berada di luar negara.
“Selain itu, kepelbagaian platform e-dagang dan media sosial juga memerlukan pemantauan berterusan serta penggunaan teknologi yang lebih canggih bagi mengekang kegiatan ini,”jelasnya.
Sementara itu, ujarnya, sebanyak 9,723 tangkapan dibuat berkaitan kes penipuan pembelian dalam talian bagi tempoh 2024 hingga Januari lalu.
Daripada jumlah tersebut, 7,596 individu telah didakwa di mahkamah.
“Seramai 4,443 individu ditahan dengan 3,513 daripadanya didakwa pada 2024 manakala 4,926 tangkapan dengan 3,744 pertuduhan tahun lalu.
“Bagi Januari lalu sahaja, sebanyak 354 tangkapan direkodkan dan daripada jumlah itu 339 individu telah dituduh di mahkamah,” katanya
Pada 9 Februari lalu, Nexbyte melaporkan kes penipuan pembelian dalam talian meningkat hampir 57 peratus pada Januari tahun ini dengan kerugian mencecah RM14.83 juta.
Statistik JSJK menunjukkan, sebanyak 752 kes direkodkan pada Januari 2024 melibatkan kerugian RM6.46 juta sebelum meningkat kepada 878 kes bagi tempoh sama tahun berikutnya dengan kerugian RM6.13 juta. – UTUSAN






