SHAH ALAM: Tindakan berbalas ejekan dipercayai menjadi punca seorang pelajar tingkatan tiga sebuah sekolah menengah, di sini dipukul sehingga didakwa berisiko mengalami masalah pendengaran, pada minggu lalu.
Ketua Polis Selangor, Datuk Shazeli Kahar berkata, berdasarkan siasatan awal oleh polis dan keterangan yang diperolehi, insiden tersebut membabitkan seorang suspek berusia 17 tahun juga merupakan pelajar di sekolah sama.
“Punca disebabkan mengikut keterangan yang ada sehingga kini adalah berkaitan dengan aktiviti ejek-mengejek yang berlaku sebelum ini. Mereka merupakan kenalan satu sekolah,” katanya pada sidang akhbar di sini, hari ini.
Beliau berkata, susulan kejadian tersebut, suspek sudah pun ditangkap dan direman sebelum dibebaskan dengan jaminan polis.
Jelas Shazeli, siasatan dijalankan mengikut Seksyen 506/323 Kanun Keseksaan yang membabitkan ugutan dan mendatangkan kecederaan selepas polis menerima laporan daripada pengadu dan mangsa.
“Kertas siasatan sedang dilengkapkan sebelum dirujuk kepada Pejabat Timbalan Pendakwa Raya. Berkenaan kecederaan, saya tidak boleh memberikan ulasan sebab perlu menunggu laporan rasmi daripada pegawai perubatan,” ujarnya.
Terdahulu, Nexbyte melaporkan, insiden seorang pelajar lelaki tingkatan tiga didakwa hampir pekak pada minggu lalu dipercayai melibatkan pergaduhan.
Pengarah Jabatan Pendidikan Negeri Selangor (JPNS), Datin Wan Nor Ashikin Abu Kassim berkata, bagaimanapun siasatan menyeluruh termasuk mediasi bersama guru dan ibu bapa berhubung isu tersebut serta sokongan kepada pelajar terbabit turut dilakukan.
Semalam, pelajar terbabit didakwa mengalami masalah pendengaran dan trauma teruk selain gangguan emosi akibat dibuli pada Rabu minggu lalu.
Ibu mangsa, Nurhaswaty Zamani, 43, berkata, anaknya, Adryz Adrian Azwan, 15, terpaksa menerima rawatan di hospital dan diberitahu berisiko kehilangan pendengaran di telinga kanan anak tunggalnya itu. – UTUSAN






