MELAKA: Seorang kakitangan Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) didenda RM10,000 oleh Mahkamah Sesyen di sini, hari ini atas kesalahan membuat dan memulakan komunikasi jelik terhadap bekas pengarah negeri jabatan itu, dua tahun lalu.
Hakim Haderiah Siri membuat keputusan itu selepas menerima pengakuan salah orang kena saman (OKS), Adi Ariff Ahmad, 51, sejurus pertuduhan dibacakan jurubahasa mahkamah.
Berdasarkan kertas pertuduhan, tertuduh menggunakan aplikasi X melalui akaun ‘Senatorrr Antonio Samad’ telah secara sedar membuat dan memulakan penghantaran komunikasi iaitu hantaran yang jelik sifatnya iaitu, “Pengarah FAMA Melaka ni nak kerja ke nak berniaga? Ke nak jadi kartel?” dan “Menurut sumber dalaman, rakan niaga or rakan subahatnya yg juga staff dia berhari2 tak dtg kerja katanya dia payung cukup2.. Mintak exco Pertanian Melaka n KP FAMA buat siasatan perangai mamat ni”.
Kenyataan itu dilihat kira-kira pukul 5 petang di sebuah rumah bernombor di Jalan Kelubi Damai 1, Taman Kelubi Damai dalam daerah Jasin pada 11 Oktober 2023.
Sabit kesalahan, OKS berdepan hukuman denda maksimum RM50,000 atau dipenjarakan tidak lebih satu tahun atau kedua-duanya sekali dan boleh juga didenda selanjutnya RM1,000 bagi setiap hari kesalahan itu diteruskan selepas pensabitan mengikut Seksyen 233 (1) (a) Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 yang boleh dihukum di bawah Seksyen 233 (3) akta sama.
Pegawai Pendakwa Suruhanjaya Komunikasi Multimedia Malaysia (SKMM), Nazrul Nizam Mohd. Zameri mencadangkan hukuman setimpal dan bersesuaian dengan trend hukuman semasa.
OKS yang tidak diwakili peguam merayu hukuman denda rendah dikenakan dengan alasan merupakan pencari nafkah tunggal keluarga dan menyara isteri serta empat anak masih belajar.
Mahkamah menjatuhkan hukuman denda RM10,000 atau enam bulan penjara jika gagal bayar. – UTUSAN






