MELAKA: Seorang buruh binaan warga India dihadapkan ke Mahkamah Majistret di sini hari ini atas pertuduhan mencabul kehormatan seorang warga emas yang juga pemandu e-hailing, bulan lalu.
Tertuduh, M. Muthupalani, bagaimanapun mengaku tidak bersalah sejurus pertuduhan dibacakan oleh jurubahasa mahkamah di hadapan Majistret Uthman Abd. Ghani.
Mengikut pertuduhan, tertuduh didakwa menggunakan kekerasan jenayah terhadap mangsa, Mohamad Noor Jaamad, 65, dengan niat mencabul kehormatannya ketika berada di dalam sebuah kereta Perodua Bezza dalam perjalanan dari NSK Cheng ke Medan Selera Cheng, dalam daerah Melaka Tengah.
Perbuatan itu didakwa berlaku kira-kira pukul 9.25 malam pada 29 Disember 2025.
Jika sabit kesalahan, tertuduh boleh dihukum penjara sehingga 10 tahun atau denda atau kedua-duanya sekali mengikut Seksyen 354 Kanun Keseksaan.
Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya, Syauqi Mardia Baharudin mencadangkan jaminan sebanyak RM7,000 terhadap tertuduh.
Bagaimanapun, peguam tertuduh, S. Daniel merayu jumlah jaminan dikurangkan dengan alasan anak guamnya menanggung isteri yang tidak bekerja serta dua orang anak, selain ibu dan bapa yang uzur di India.
Selepas mendengar hujahan kedua-dua pihak, mahkamah membenarkan tertuduh diikat jamin sebanyak RM4,000 dengan seorang penjamin warga tempatan dan menetapkan 3 Mac depan sebagai tarikh sebutan semula kes. – UTUSAN






