KUALA LUMPUR: Seorang pemandu e-hailing memohon penjelasan Polis Diraja Malaysia (PDRM) selepas mendakwa ditahan tanpa sebab jelas, susulan satu insiden membabitkan penumpang yang diambilnya pada 6 Disember lalu.
Presiden Persatuan Transformasi Pengangkutan Awam Darat (TPAD), M. Nathan berkata, pemandu itu ditahan pada 6 Januari lalu mendakwa digari dan direman selama empat hari walaupun identiti penumpang adalah sah dan tempahan dibuat melalui aplikasi.
“Pada 6 Disember lalu, pemandu tersebut yang dikenali sebagai S. Kantharaj mengambil dan menurunkan penumpang itu di sekitar Rawang, Selangor.
“Setelah tiba di destinasi, penumpang itu terus berlari keluar tanpa membayar tambang, selepas sebulan kemudian Kantharaj ditahan polis tanpa tujuan yang kukuh,” katanya dalam sidang media di Ibu Pejabat TPAD, Mont Kiara, di sini hari ini.
Peguam panel TPAD, S. Vigines pula menyifatkan penahanan itu tidak mengikut prosedur operasi standard (SOP) dan boleh mengakibatkan trauma seseorang.
“Ia menyalahi undang-undang dan jika ditangkap oleh pihak polis, mereka harus beritahu tujuan sebenar.
“Tindakan itu tidak adil ekoran pemandu e-hailing hanya membawa dan menurunkan penumpang sahaja, namun tidak boleh semak latar belakang mereka,” katanya.
Jelas Vigines, Agensi Pengangkutan Awam Darat (APAD) bersama Kementerian Pengangkutan harus menjalankan penyelarasan SOP bagi pihak pemandu e-hailing.
“Wujudkan satu biro guaman bagi memberi khidmat nasihat kepada pemandu sistem itu dan dalam masa yang sama boleh mengurangkan tempoh jamin,” katanya.
Sementara itu, pemandu e-hailing, S. Kantharaj berkata, dia kini trauma dan hilang punca pendapatan ekoran telefon bimbit dan kereta masih lagi ditahan polis.
“Saya bekerja sebagai juruteknik sepenuh masa, namun disebabkan kereta saya yang masih ditahan, bagaimana saya mahu kerja?
“Saya hampir menamatkan nyawa sendiri disebabkan trauma berikutan tiada pekerjaan bagi menampung keperluan keluarga. Persepsi saudara-mara terhadap saya sudah lain disebabkan penahanan itu,” katanya. – UTUSAN






