BATU PAHAT: Seorang pekebun tiada pilihan dan bakal menyambut Aidilfitri di sebalik tirai besi selepas gagal membayar denda sebanyak RM1,500 yang dikenakan terhadapnya oleh Mahkamah Majistret, di sini hari ini atas kesalahan memiliki senapang angin buatan sendiri, bulan lalu.
Tertuduh, Mohamad Faizal Dinyanti, 38, mengaku bersalah terhadap dakwaan tersebut selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Arun Noval Dass.
Atas kesalahan tersebut, mahkamah menjatuhkan hukuman penjara sebulan dan denda RM1,500 serta penjara tiga bulan jika gagal membayarnya.
Berdasarkan kertas pertuduhan, tertuduh didakwa memiliki senjata tiruan berupa senapang angin buatan sendiri di sebuah rumah di Kampung Sungai Dulang, Rengit, pada pukul 12.30 tengah malam, 8 Februari lalu.
Atas kesalahan itu, dia didakwa mengikut Seksyen 36 (1) Akta Senjata Api 1960 yang mana boleh dipenjara sehingga setahun atau denda RM5,000 atau kedua-duanya jika sabit kesalahan.
Menurut fakta kes, tertuduh ditahan polis selepas pihak berkuasa menerima maklumat daripada ahli keluarganya sendiri berhubung kegiatan lelaki terbabit yang mencipta senjata itu.
Soal siasat terhadap tertuduh mendapati, dia baharu hendak mula terjebak dalam kegiatan itu dengan cara pembuatan senjata angin berkenaan dipelajari menerusi dalam talian.
Siasatan polis turut mendapati, bekas mekanik itu membuat senjata terbabit menggunakan besi paip dan kompresor yang kemudiannya dijual pada harga RM550 setiap satu.
Kes dikendalikan Firdaus Ruslan manakala tertuduh diwakili peguam, Tan Song Yan daripada Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan. – UTUSAN





