KUALA LUMPUR: Ahli perniagaan, Datuk Seri Aliff Syukri Kamaruzaman tidak perlu memohon maaf kepada bekas menteri, Tan Sri Abdul Kadir Sheikh Fadzir berhubung kesa saman fitnah berkait hutang pelaburan bernilai RM30 juta sehingga rayuan diputuskan di Mahkamah Rayuan.
Peguam, Mahmud Abdul Jumaat yang mewakili Aliff Syukri selaku pemohon berkata, keputusan itu dibuat oleh Hakim Datuk Roslan Mat Nor selepas membenarkan sebahagian permohonan ahli perniagaan itu.
“Selain itu, mahkamah turut membenarkan penangguhan pelaksanaan bagi perintah untuk menghapuskan penerbitan,” katanya ketika dihubungi Nexbyte.
Selain itu, peguam itu memaklumkan, mahkamah turut membenarkan permohonan Aliff Syukri supaya ganti rugi RM250,000 dibayar ke dalam akaun pemegang amanah sehingga rayuan diputuskan oleh Mahkamah Rayuan.
Bagaimanapun, Mahmud berkata, mahkamah menolak permohonan Aliff Syukri untuk menangguhkan pelaksanaan injunksi yang melarangnya menerbitkan sebarang kenyataan berunsur fitnah terhadap Abdul Kadir.
Ini bermakna, Aliff Syukri kekal dilarang daripada menerbitkan atau menyebabkan penerbitan kenyataan sama atau mempunyai kesan serupa terhadap brkas Menteri Kebudayaan, Kesenian dan Pelancongan itu sementara menunggu keputusan rayuan.
Pada prosiding hari inu, Mahkamah turut memerintahkan Aliff Syukri membayar kos RM5,000 kepada Abdul Kadir.
Pada 7 Mei lalu, Mahkamah Tinggi memerintahkan Aliff Syukri membayar ganti rugi RM250,000 selepas didapati memfitnah Abdul Kadir menerusi kenyataan yang diterbitkan di media sosial.
Beliau turut diperintahkan membayar kos RM50,000 kepada Abdul Kadir.
Mahkamah ketika itu mengeluarkan injunksi bagi menghalang Aliff Syukri, sama ada melalui pegawai, pekerja, ejen atau mana-mana pihak yang bertindak bagi pihaknya, daripada menerbitkan kenyataan yang sama atau mempunyai kesan serupa memfitnah Abdul Kadir.
Aliff Syukri juga diperintahkan menarik balik dan memadamkan semua penerbitan berunsur fitnah terhadap Abdul Kadir daripada akaun media sosialnya serta membuat permohonan maaf tanpa syarat dalam tempoh tujuh hari.
Abdul Kadir, 86, memfailkan saman itu pada 6 September 2023 dengan mendakwa Aliff Syukri, 39,mengeluarkan kenyataan berunsur fitnah terhadapnya menerusi Instagram dan Facebook pada 2 Julai tahun sama.
Menurut Abdul Kadir, kenyataan tersebut antara lain membawa maksud bahawa beliau berhutang berjuta-juta ringgit kepada Aliff Syukri, manakala penggunaan gambarnya dalam penerbitan itu mengundang komen negatif daripada pengguna media sosial.
Beliau mendakwa kenyataan berkenaan turut memberi gambaran bahawa dirinya seorang penipu, memperdaya orang lain dan tidak berkemampuan membayar hutang.
Sementara itu, Aliff Syukri dalam pernyataan pembelaannya mendakwa beliau telah membuat pelaburan sebanyak RM30 juta berdasarkan perjanjian usaha sama bertarikh 26 November 2018 yang melibatkan kedua-dua pihak dan dua syarikat. – UTUSAN






