MUAR: Walaupun tanpa sokongan dana dan jentera parti, hasrat menyemai semangat cintakan negara tetap dilaksanakan dengan melakukan perarakan secara sederhana di sekeliling kawasan perumahan di Taman Bakri Jaya di sini, malam tadi.
Itu komitmen dilakukan calon Bebas Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Simpang Jeram, S. Jeganathan semata-mata untuk meraikan sambutan bulan kemerdekaan bersama penduduk setempat.
Menurut calon yang lebih mesra dengan panggilan Jegha, program sambutan ambang merdeka ini sudah dilakukannya bersama penduduk kampung sejak beberapa tahun lalu.
Katanya, perarakan mengelilingi taman ini hanya tidak dilakukan ketika pendamik Covid 19 melanda negara pada 2020 hingga 2022.
“Uniknya perarakan ini disertai oleh semua bangsa iaitu Melayu, Cina dan India penduduk Taman Bakri Jaya ini.
“Semua ini dilakukan adalah demi untuk menyemai semangat cintakan negara khususnya kepada anak muda yang akan mewarisi kemerdekaan negara pada masa akan datang,” katanya ketika ditemui.
Tambah Jegha, jika perpaduan kaum dapat dilaksanakan dengan baik, negara pasti akan membangun dengan jayanya.
“Saya turut menyeru kepada semua agar terus perkukuhkan perpaduan kaum demi keamanan dan kemajuan negara,” ujarnya. – UTUSAN






