KUALA SELANGOR: Anggota serta pimpinan yang mendakwa pemilihan Parti Keadilan Rakyat (PKR) di peringkat cabang atau pimpinan pusat bagi sesi 2025-2028 tidak adil atau dimanipulasi hendaklah tampil mengemukakan bukti.
Naib Presiden, Datuk Seri Amirudin Shari berkata, sesiapa pun dalam parti boleh membuat dakwaan namun hendaklah disertakan dengan asas yang kukuh, malah jawatankuasa pemilihan parti (JPP) sudah pun membuat pemilihan semula di beberapa cabang selepas menerima aduan.
“JPP melakukan proses pengundian semula di beberapa cabang yang dikesan (berlaku ketidakadilan) dan itu bukti kita cuba yang terbaik untuk memastikan (menyelesaikan) sebarang kebarangkalian (kelemahan).
“Tetapi, dakwaan itu masih dibuat oleh mereka yang kecewa ataupun masih tidak berpuas hati. Namun harus diandalkan dengan bukti, bukan dengan permainan sentimen atau hujah-hujah tidak jelas,” katanya kepada pemberita, hari ini.
Nexbyte sebelum ini memetik dakwaan dibuat oleh Timbalan Presiden PKR, Datuk Seri Mohd. Rafizi Ramli yang didedahkan dalam siaran langsung audio siar ‘Yang Bakar Menteri: Yang Berhenti Menteri?’ apabila mendakwa Pengerusi JPP, Datuk Seri Dr. Zaliha Mustafa gagal mengendalikan pemilihan parti itu.
Menurutnya, beliau gagal menyelesaikan aduan berhubung dakwaan berlaku kepincangan yang wujud di peringkat cabang dan menyatakan kebimbangan terhadap gelombang keahlian baharu selepas PKR menguasai Putrajaya.
Amirudin yang juga Menteri Besar Selangor menambah, laporan dan audit pemilihan peringkat cabang secara menyeluruh sudah pun dibentangkan kepada pimpinan pusat baru-baru ini.
“Saya percaya kita sudah cuba menjamin sebaik mungkin. Proses itu dilakukan dengan adil, tetapi kalau mereka masih mendapati beberapa bukti, bukan sangkaan, kena buktikanlah,” tegasnya. – UTUSAN






