KOTA MARUDU: Rakyat Sabah khususnya pengundi di Dewan Undangan Negeri (DUN) Bandau diminta memilih wakil rakyat yang mudah dan mampu bekerjasama secara langsung dengan kerajaan Persekutuan.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, langkah itu adalah bagi mempercepat pembangunan di kawasan tersebut.
“Pilih wakil yang boleh runding dengan saya, yang jaga Bandau. Menang saja Zaidi, saya bagi dia tempoh sebulan, senaraikan apa masalah di Bandau. Sebulan atau (sehingga) minggu pertama Januari (2026) semua masalah, sedaya upaya kita bantu,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Program Temu Rapat PMX Sayang Sabah.
Dalam pada itu, Anwar turut menekankan kepentingan menyokong calon Pakatan Harapan (PH) di DUN berkenaan, pada Pilihan Raya Negeri (PRN) ke-17, Zaidi Jatil bagi memastikan agenda pembangunan dapat dilaksanakan dengan lancar.
Mengulas lanjut, Anwar turut berkata, kehadirannya ke Bandau adalah bagi melihat DUN yang terletak kira-kira 124 kilometer dari Kota Kinabalu, dengan menyaksikan persaingan 13 penjuru berpotensi dimenangi PH.
Dalam pada itu, beliau turut memuji kebijaksanaan rakyat Sabah dalam mengekalkan keharmonian pelbagai kaum.
“Negeri ini aman kerana rakyat bijak. Suku kaum lain-lain, warna kulit lain-lain, agama lain-lain, tetapi semua bekerjasama. Sebab itu Sabah boleh kekal aman,” katanya.
Dalam ucapannya, Anwar mengulangi komitmen kerajaan Persekutuan terhadap pemulangan 40 peratus hasil Sabah, serta menyatakan buat pertama kali kerajaan Pusat dan negeri berjaya mencapai persetujuan untuk melaksanakannya.
Selain itu, Perdana Menteri menyenaraikan beberapa langkah signifikan yang diambil kerajaan termasuk kenaikan gaji penjawat awam yang tertinggi dalam sejarah, peningkatan gaji minimum kepada RM1,700, pemotongan gaji menteri sebanyak 20 peratus dan keputusannya untuk tidak mengambil gaji sebagai Perdana Menteri. – UTUSAN






