PETALING JAYA: Keputusan MIC untuk terus kekal bersama BN merupakan kesetiaan serta kematangan politik parti itu dalam landskap semasa.
Setiausaha Agung BN, Datuk Seri Dr. Zambry Abd Kadir berkata, pendirian tersebut bukan sekadar bersifat semasa, ia juga mencerminkan akar sejarah serta semangat perjuangan yang telah lama terbina sejak era Perikatan sebelum diperkukuh melalui BN.
Katanya, malah keputusan yang dibuat oleh Jawatankuasa Kerja Pusat (CWC) MIC itu jelas, tegas dan berpandangan jauh.
“Dalam tempoh panjang ini, gabungan ini telah melalui pelbagai ujian termasuk cabaran perkauman, tekanan politik dan perubahan landskap nasional.
“Namun, BN kekal bertahan kerana asasnya adalah kepercayaan, kesetiaan dan tanggungjawab bersama,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau berkata, keputusan MIC itu juga mempunyai justifikasi kukuh termasuk dari aspek kestabilan dan kesinambungan dalam situasi politik yang semakin tidak menentu.
Katanya, BN telah membuktikan keupayaannya mentadbir negara secara inklusif dan pragmatik selain menjadi model kerjasama pelbagai kaum yang telah diuji masa.
“BN juga terus memperbaharui diri melalui penstrukturan semula organisasi serta pendekatan lebih responsif terhadap kehendak rakyat.
“Dalam masa sama, keputusan ini menolak politik perpecahan dan menegaskan prinsip kebersamaan serta solidariti,” katanya.
Tambah beliau, usaha memperkukuh BN akan terus dipergiatkan bagi memastikan gabungan itu kekal relevan dan berdaya tahan.
“Keputusan ini bukan sahaja mengenai hari ini, tetapi masa depan bahawa politik berteraskan kesatuan, kesederhanaan dan tanggungjawab masih penting dalam membina Malaysia yang stabil dan sejahtera,” katanya. – UTUSAN






