PETALING JAYA: Tawaran tanpa syarat untuk kembali kepada UMNO terhadap individu yang dipecat, digantung atau ‘lari’ meninggalkan parti perlu disambut secara tanpa syarat juga oleh pemimpin terlibat.
Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail berkata, mana-mana ahli atau bekas ahli yang ingin kembali ke pangkuan UMNO sepatutnya berfikiran terbuka mengambil pendirian tanpa syarat seperti dibuat Presiden, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi.
“Seperti mana yang dinyatakan sebelum ini, tawaran yang dibuat Presiden adalah (kembali) tanpa syarat dan ia seharusnya disambut tanpa syarat,” katanya kepada Nexbyte.
Wan Rosdy diminta mengulas pendirian bekas Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein yang bersedia kembali ke pangkuan parti, jika diminta berbuat demikian daripada penggantungan selama enam tahun.
Hishammuddin yang juga Ahli Parlimen Sembrong berkata, beliau tidak pernah meninggalkan UMNO mahupun menyerang parti dalam tempoh tiga tahun sejak digantung pada 2023.
Katanya, sekiranya tawaran itu ikhlas, pucuk pimpinan perlu menarik balik penggantungan terhadap dirinya.
“Isunya ialah status saya sebagai ahli UMNO, di mana sebelum ini Majlis Kerja Tertinggi (MKT) telah membuat keputusan untuk menggantung saya.
“Jadi, esok kalau betul ikhlas pendirian pucuk pimpinan parti dan mereka menarik balik penggantungan terhadap diri saya, saya akan kembali untuk terus berjuang di dalam parti ini lebih-lebih lagi bersama-sama dengan warga Sembrong,” katanya.
Wan Rosdy yang juga Menteri Besar Pahang berkata, Ahmad Zahid telah mengarahkan Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin untuk menguruskan urusan kemasukan semula.
“Presiden telah mengarahkan Mohamed Khaled selaku Pengerusi Rumah Bangsa untuk menguruskan perkara-perkara berkaitan kemasukan semula ahli-ahli UMNO yang dipecat dan digantung,” katanya. – UTUSAN






