PETALING JAYA: Ahli Parlimen Tasek Gelugor, Datuk Wan Saiful Wan Jan turut dipanggil memberi keterangan bagi membantu siasatan berhubung dakwaan konspirasi menjatuhkan kerajaan dan memudaratkan demokrasi berparlimen.
Beliau turut merujuk kepada siasatan yang dijalankan di bawah Seksyen 124B Kanun Keseksaan berhubung laporan polis tersebut yang mendakwa wujud aktiviti yang menjejaskan demokrasi berparlimen.
“Saya dimaklumkan beberapa orang rakan dari dunia akademik dan NGO sudah dipanggil polis untuk memberi keterangan. Saya juga akan memberi keterangan hari ini tetapi tidak pasti kenapa saya dipanggil.
“Saya tertanya-tanya adakah ia satu cubaan untuk mengaitkan pembangkang dengan isu ini?” katanya dalam kenyataan hari ini.
Menurut Wan Saiful, berdasarkan Hansard Dewan Rakyat bertarikh 17 April 2012, perbahasan Menteri di Jabatan Perdana Menteri ketika itu menunjukkan aktiviti yang menjejaskan demokrasi berparlimen di bawah Seksyen 124B merujuk kepada aktiviti ganas yang tidak berperlembagaan untuk menggulingkan institusi Parlimen yang dipilih melalui sistem demokrasi.
Beliau turut mempersoalkan bagaimana aktiviti media atau kempen awam boleh disiasat di bawah seksyen tersebut.
Katanya, takrifan menjejaskan demokrasi berparlimen pernah dibahaskan oleh ahli-ahli Parlimen pembangkang pada ketika itu termasuk Menteri Dalam Negeri sekarang yang bimbang takrifan yang longgar akan disalah guna oleh pihak berkuasa.
“Maka timbul persoalan asas bagaimana laporan media atau kempen awam boleh diklasifikasikan sebagai aktiviti yang menjejaskan demokrasi berparlimen.
“Adakah kempen awam oleh orang politik atau parti politik atau kritikan terhadap kerajaan yang disiarkan oleh media juga akan menjadi kesalahan di bawah kerajaan Madani ini?” katanya.
Wan Saiful berkata, siasatan di bawah Seksyen 124B Kanun Keseksaan itu tidak munasabah dan merupakan satu penyalahgunaan kuasa.
Katanya, jika dibiarkan, tindakan sedemikian berpotensi memberi impak serius terhadap kebebasan media selain pengamal media berisiko disiasat di bawah seksyen tersebut.
“Semua rakyat Malaysia berhak membela diri dan membetulkan naratif secara sah melalui saluran media massa atau mana-mana saluran yang mereka rasakan sesuai.
“Saya juga bimbang jika ada pengamal media yang tidak berjaya membida sesuatu projek kemudian menggunakan butiran yang mereka peroleh untuk menimbulkan masalah kepada pelanggan yang menolak mereka.
“Ini akan mewujudkan ketidakpercayaan kepada media yang sepatutnya menjadi ‘the fourth pillar of democracy’,” katanya.
Wan Saiful berkata, beliau merujuk kepada satu laporan polis yang tular di internet yang mendakwa wujud perbincangan antara keluarga Allahyarham Tun Daim Zainuddin dengan sebuah firma asing bagi menggunakan media antarabangsa untuk tujuan yang dikatakan salah.
Katanya, laporan polis tersebut dipercayai dibuat oleh seorang editor media yang turut menjalankan perniagaan konsultansi perhubungan awam.
“Saya tahu bahawa individu ini pernah menawarkan perkhidmatan perhubungan awam kepada Toh Puan Nai’mah (balu Tun Daim) untuk menangani tohmahan-tohmahan yang dilemparkan kepada beliau dan keluarga. Tawaran tersebut telah ditolak oleh Toh Puan Nai’mah.
“Saya tidak menolak kemungkinan bahawa laporan polis ini dibuat untuk membalas penolakan tersebut dan jika itulah motifnya, maka integriti individu ini dalam menjalankan PR consultancy dan syarikat media boleh dipersoalkan,” katanya. – UTUSAN






