KANGAR: Akar umbi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) menolak sebarang bentuk kerjasama dengan DAP.
Timbalan Pengerusi Bersatu negeri, Izizam Ibrahim berkata, prinsip dan pendirian Bersatu sejak dahulu berkait DAP cukup jelas dan akar umbi sememangnya sukar untuk bersama dengan parti berkenaan.
Katanya, akar umbi tidak kisah bekerjasama dengan mana-mana parti politik asalkan demi kepentingan Melayu dan Islam.
“Jika dengan DAP, memang kami tolak dan prinsip itu cukup jelas. Kalau boleh, kita harap hala tuju ditetapkan Bersatu selepas ini tetap bersama parti-parti Melayu Islam,” katanya kepada Nexbyte di sini semalam.
Kelmarin Nexbyte melaporkan, DAP terbuka untuk bekerjasama dengan mana-mana parti termasuk Bersatu demi memastikan kestabilan negara terus terpelihara.
Timbalan Setiausaha Agung DAP, Tengku Zulpuri Shah Raja Puji dilaporkan berkata, kerjasama politik perlu mengambil kira kepentingan negara, termasuk usaha memantapkan ekonomi dan kesejahteraan sosial masyarakat majmuk.
Menurut beliau, DAP kini berada dalam fasa lebih matang selepas melalui pelbagai pengalaman sepanjang penglibatan dalam politik negara sejak enam dekad lalu.
Sebelum itu, Pengarah Pilihan Raya Pakatan Harapan (PH), Datuk Seri Amirudin Shari, yang juga Naib Presiden PKR, berkata PH sentiasa terbuka untuk menjalinkan kerjasama atau sebarang persefahaman dengan parti atau gabungan politik, termasuk dengan Perikatan Nasional (PN) atau Bersatu.
Sementara itu, Izizam yang juga Exco kerajaan negeri berkata, sebaiknya Bersatu perlu terus bersama di dalam PN.
Katanya, demi penyatuan Melayu Islam, kerjasama PN dan Barisan Nasional (BN) juga sangat bertepatan dalam mendepani Pilihan Raya Umum Ke-16 (PRU16).
“Apa jua perbezaan fahaman politik, orang Melayu Islam akhirnya perlu bersatu. Pemimpin-pemimpin politik juga perlulah berjiwa besar demi penyatuan tersebut.
“Sebagai akar umbi Bersatu, kami sangat berharap kerjasama parti-parti politik Melayu Islam ini dapat direalisasikan. Apa jua perselisihan harap diselesaikan,” katanya yang juga Ketua Bersatu Bahagian Padang Besar.
Dalam pada itu, Ketua Penerangan Bersatu, Datuk Tun Faisal Ismail Aziz berkata, Bersatu tidak mempunyai sebarang rekod buruk sepanjang penglibatan dalam politik negara dan mempunyai rekod kepemimpinan dan pentadbiran yang baik selain bersikap inklusif serta sederhana.
“Tidak pelik. Bersatu lebih berintegriti, lebih inklusif, sederhana dan tidak ekstrem, tidak khianat, tidak melanggar Perlembagaan dan menafikan hak pihak lain.
“Bersatu juga mempunyai track record kepimpinan dan pentadbiran yang baik, prihatin kepada rakyat dan teruji dalam krisis pandemik Covid-19,” katanya. – UTUSAN






