KUALA SELANGOR: Pas Selangor memperkenalkan rangka kerja ‘Ehsan 2030’ dalam usaha parti itu memperkuat strategi dalam misi merampas negeri ini pada Pilihan Raya Umum Ke-16 (PRU16) nanti.
Rangka kerja tersebut dirancang bagi memenuhi keperluan rakyat berdasarkan situasi semasa serta pembangunan di negeri ini untuk menunjukkan keupayaan parti itu mentadbir Selangor.
Pesuruhjaya Pas Selangor, Datuk Dr. Ab. Halim Tamuri berkata, Ehsan 2030 antara tawaran yang akan dilaksanakan nanti dan bukan semata-mata untuk mengambil alih kerajaan negeri.
“Kita bersedia mengambil alih kerajaan negeri, Ehsan 2030 adalah kerangka besar Pas Selangor untuk membawa negeri ini ke arah yang lebih cemerlang pada masa hadapan.
“Selangor adalah negeri yang maju, mempunyai sumber kekuatan ekonomi dan sumber manusia yang hebat serta kedudukan yang sangat strategik, tetapi rakyatnya berhak mendapat suatu yang lebih baik daripada kerajaan seda ada,” katanya ketika berucap pada Majlis Pelancaran Jentera Pilihan Raya Pas Selangor di sini, malam tadi.
Jelasnya, melalui perancangan tersebut juga Pas enggan dilihat sebagai mahu mentadbir semata-mata, sebaliknya menunjukkan parti itu juga mahu menawarkan pentadbiran yang berwawasan.
Bagaimanapun, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Paya Jaras itu menegaskan usaha tersebut hanya akan tercapai sekiranya Pakatan Harapan (PH) dapat disingkirkan dalam pilihan raya akan datang yang didakwanya boleh berlaku pada bila-bila masa.
“Untuk memastikan kita memimpin negeri ini, saya ingin tegaskan Jentera Pilihan Raya Pas Selangor mestilah berada dalam keadaan siap-siaga untuk menghadapi pilihan raya.
“Kita mesti mempunyai pembahagian tugas yang jelas, disiplin dan paling penting, kita mempunyai satu arah, perancangan, gerakan untuk masa depan Pas memimpin Perikatan Nasional (PN) di Selangor,” ujarnya. – UTUSAN






