KUALA SELANGOR: Pas menyindir kepemimpinan PKR yang goyah apabila Timbalan Presidennya, Nurul Izzah Anwar mahu meletakkan jawatannya dalam parti itu yang baru kira-kira tiga bulan menyandangnya.
Ketua Pengarah Pilihan raya Pas, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md. Nor berkata, tindakan tersebut menyebabkan Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim didakwa kini bersendirian tanpa pimpinan yang pernah rapat dengannya.
“Kesian Rafizi (bekas Timbalan Presiden PKR, Datuk Seri Mohd. Rafizi Ramli) bertanding dalam (pemilihan parti), riuh rendah hendakkan jawatan timbalan presiden, tetapi akhirnya kalah.
“(Kalah) Kerana dia hendak lawan anak Anwar. Lepas itu dia berhenti jadi menteri dan buat parti bersama kancil. Yang menang (lawan) dengan Rafizi, (pula) letak jawatan. Benar-benar gila,” katanya ketika berucap pada Majlis Pelancaran Jentera Pas Selangor di sini, hari ini.
Kelmarin, Nexbyte melaporkan Nurul Izzah ketika berucap pada Kongres Nasional Angkatan Muda Keadilan (AMK) dan Wanita PKR di Pusat Dagangan Antarabangsa Melaka (MITC) mengakui terdapat pihak yang sukar menerima kemenangan beliau dalam pemilihan parti pada 2025, sebagaimana ada pihak yang tidak dapat menerima kekalahannya pada 2022.
Katanya, sepanjang perjalanan politiknya, pasti ada pihak yang tidak berpuas hati dengan setiap keputusan atau perkembangan yang berlaku, namun perkara itu tidak seharusnya menghalang seseorang daripada kekal berpegang kepada prinsip.
Dalam ucapan sama, Muhammad Sanusi yang juga Menteri Besar Kedah menyindir tindakan Kerajaan Persekutuan apabila mendakwa pendedahan laporan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RC) Lembaga Tabung Haji selepas tiga tahun sebagai cubaan untuk mengambil kesempatan terhadap UMNO atau Barisan Nasional (BN).
Beliau mendakwa, kerajaan sengaja menyimpan laporan berkenaan sejak tiga tahun lalu dan tidak mendedahkannya kepada umum.
“Dia simpan (laporan) RCI (LTH) takut orang tahu, terjejas siapa yang bersalah. Takut terjejas sesiapa yang bersalam, sebab mereka hendak guna (30 orang wakil Rakyat BN). ‘Habis madu sepah dibuang’.
“Mereka ambil kesempatan, diambil dibawa untuk kepentingan diri, PH. Bila nampak, rakan-rakan kita sedar diri, hendak patah balik tetapi tak. Didedahkanlah semua sebagai ugutan jahat, bukan hendak cari kebenaran, ketelusan, bukan,” tegasnya. – UTUSAN






