BARCELONA: Lamine Yamal menandatangani kontrak baharu sehingga 2031 bersama Barcelona selepas mempamerkan prestasi cemerlang pada musim ini.
Pemain sayap berusia 17 tahun itu kini menjadi antara tonggak utama kelab dan membantu mereka meraih treble domestik iaitu La Liga, Copa del Rey dan Piala Super Sepanyol.
“Barcelona dan Lamine Yamal sudah mencapai persetujuan untuk melanjutkan kontraknya hingga 30 Jun 2031. Pembaharuan kontrak Lamine Yamal adalah bukti kukuh terhadap projek jangka panjang Barca.
“Kemunculannya di pentas bola sepak dunia sangat luar biasa, dan semuanya bermula dengan penampilan pertamanya pada 29 April 2023 ketika masih berusia 15 tahun,” kata Barcelona dalam satu kenyataan.
Media Sepanyol melaporkan bahawa kontrak baharu itu menjadikannya antara pemain dengan gaji tertinggi di Barcelona.
Selepas menjuarai Euro 2024 bersama Sepanyol musim panas lalu, Yamal menjaringkan 18 gol dan melakukan 25 bantuan gol dalam 55 perlawanan di semua kejohanan sepanjang musim yang mengagumkan.
Beraksi di bahagian sayap kanan, kepantasan dan skil Yamal menyumbang besar kepada kejayaan Barcelona menjaringkan 102 gol liga musim ini untuk merampas kembali kejuaraan daripada musuh tradisi, Real Madrid.
Yamal adalah produk akademi terkenal La Masia dan sering dibandingkan dengan legenda Barcelona, Lionel Messi dan membuat penampilan sulung bersama skuad utama pada tahun 2023 di bawah bimbingan Xavi Hernandez ketika baru berusia 15 tahun.
Selepas prestasi hebatnya di Euro, Yamal dilihat serasi dengan gaya menyerang jurulatih baharu, Hansi Flick. Dengan prestasi yang semakin konsisten, dia kini dianggap antara pemain terbaik dunia.
Media Sepanyol turut melaporkan bahawa kontraknya merangkumi pelbagai bonus berdasarkan pencapaian, termasuk jika memenangi Ballon d’Or, selain kenaikan gaji yang ketara.
Yamal kini adalah calon untuk memenangi anugerah pemain terbaik dunia tahun ini.- AGENSI/UTUSAN






