KUALA LUMPUR: Manchester United disambut dengan cukup meriah oleh penyokong-penyokong The Red Devils ketika sesi berjumpa dengan para peminat di The Exchange TRX, semalam.
Ruangan TRX dipenuhi dengan ratusan peminat United yang datang untuk melihat pemain pujaan mereka di depan mata.

Pelbagai program dianjurkan menjelang pertembungan All Stars ASEAN berdepan United di Stadium Nasional Bukit Jalil, malam ini.
Ketibaan enam pemain United iaitu Bruno Fernandes, Alejandro Garnacho, Manuel Ugarte, Kobbie Mainoo, Amad Diallo dan Harry Amass disambut dengan nyanyian Glory Glory Man United bergema di kawasan membeli-belah.
Ramai yang datang berjam-jam awal untuk mendapatkan tempat utama untuk menyaksikan pameran jersi United oleh Adidas sejak sepuluh tahun lalu.

Peminat dari semua lapisan peringkat umur, memakai kit United lama dan baharu,menunggu untuk mendapat autograf atau swafoto dengan mereka.
Pameran itu, menampilkan pemain legenda United seperti David Beckham, Ryan Giggs, dan Wesley Brown dan kejayaan dikecapi mereka pada 1992.

“Mereka adalah sebahagian daripada sejarah United dan kami gembira untuk mereka,” kata Amad yang berusia 23 tahun, yang menandatangani kontrak dengan United pada 2021 dan bermain 43 perlawanan musim ini, di mana dia menjaringkan 11 gol.
Selain Amad dan Mainoo, Fernandes turut berkongsi pendapatnya mengenai musim United dan menyatakan hasratnya untuk mengecap kejayaan semula.
“Saya telah melakukan untuk kelab, dan memenangi treble adalah bagus. Untuk melihat pencapaian kelab dalam beberapa tahun kebelakangan ini. Sungguh mengagumkan untuk menjadi sebahagian daripada kelab.
“Semua pemain yang anda lihat adalah menakjubkan, dan anda boleh melihat pengurus (Sir Alex Ferguson) dalam foto, dan dia yang paling penting pada masa lalu dan sekarang untuk kelab. Kami mahu membina detik seperti ini untuk diri kami sendiri, kelab, dan untuk berjaya semula,” katanya. – UTUSAN






