BILBAO: Ange Postecoglou membuktikan kata-katanya yang dia sering memenangi trofi pada musim kedua di sesebuah kelab selepas mengemudi Tottenham menjulang kejuaraan Liga Europa, semalam.
Skuad kendalian Postecoglou bertahan untuk kemenangan 1-0 ke atas Manchester United, sekali gus memenangi Liga Europa dan menamatkan kemarau kejuaraan 17 tahun kelab London itu.
Jaringan Brennan Johnson di akhir babak pertama meletakkan Spurs di depan dan taktikal menyerang Ange dilupakan seketika untuk memastikan kemenangan di San Mames itu.
Sama ada dia kekal atau tidak musim depan, pengendali dari Australia itu akan diingati sebagai wira Spurs, biarpun dalam aksi final itu, Spurs jarang melepasi garisan tengah sepanjang babak kedua, dan sekadar mempertahankan kelebihan jaringan.
Kemenangan itu menyelamatkan Spurs daripada mengharungi musim terburuk mereka sejak tersingkir daripada liga tertinggi Inggeris pada tahun 1977, dan memberi harapan kepada masa depan Postecoglou di kelab itu selepas dua musim.
“Saya tahu sukar untuk menghentikan kitaran itu. Menamatkan liga di tangga ketiga tidak akan mengubah apa-apa untuk kelab ini.
“Satu-satunya yang boleh mengubah kelab bola sepak ini ialah dengan kami memenangi sesuatu dan kami telah membuktikannya hari ini (semalam),” kata Postecoglou.
Tottenham menjaringkan 63 gol liga tahun ini tetapi turut dibolosi 61 kali – statistik pelik untuk kelab yang berada di tangga keempat tercorot liga.
Selepas berjaya menyempurnakan apa yang gagal dilakukan Mauricio Pochettino, Jose Mourinho dan Antonio Conte, kini pengerusi Tottenham, Daniel Levy perlu memutuskan sama ada mahu mengekalkan bekas pengurus Celtic itu. – AGENSI/UTUSAN






