BURNLEY: Pengurus Tottenham Hotspur, Thomas Frank sekali lagi menjadi sasaran kemarahan penyokong sendiri selepas pasukannya gagal memanfaatkan peluang keemasan untuk menang apabila terikat seri 2-2 menentang Burnley dalam aksi Liga Perdana Inggeris (EPL), kelmarin.
Kegagalan menewaskan Burnley yang menghuni tangga ke-19 terus menghangatkan tekanan terhadap pengendali dari Denmark itu, terutamanya selepas tandukan penyelamat Cristian Romero pada minit ke-89 hanya memastikan Spurs mengelak kekalahan ketiga berturut-turut dalam Liga Perdana Inggeris (EPL).
Penyokong Tottenham tidak dapat menahan rasa kecewa mereka dengan melaungkan “pecat beliau pagi esok” sewaktu Frank meninggalkan padang, mengulangi kemarahan sama seperti ketika perlawanan di laman sendiri menentang West Ham minggu lalu.
Walaupun kemenangan 2-0 ke atas Borussia Dortmund dalam Liga Juara-Juara pada Selasa lalu sedikit mengurangkan tekanan, prestasi hambar menentang Burnley mengekalkan keraguan terhadap masa depan Frank di Spurs.
“Saya rasa mesej kepada penyokong, seperti yang saya katakan sebelum ini, kami bekerja keras untuk memastikan semuanya bergerak ke arah yang betul dan kami akan terus melakukannya,” katanya.
Tottenham bermula baik dengan jaringan awal Micky van de Ven namun Burnley bangkit dengan dua gol hasil usaha Axel Tuanzebe dan pemain gantian Lyle Foster sebelum Romero menjaringkan gol penyamaan yang memastikan satu mata dibawa pulang.
Spurs kini hanya meraih dua kemenangan dalam 14 perlawanan EPL terakhir, satu rekod yang mengundang banyak tanda tanya berhubung kemampuan Frank untuk mengemudi pasukan menuju kejayaan musim ini. – AGENSI/UTUSAN






