LONDON: Bintang Tottenham Hotspur, Son Heung Min difahamkan akan meninggalkan kelab itu, menurut beberapa laporan.
Kapten Spurs itu menjadi antara nadi utama membantu kelab Liga Perdana Inggeris itu menjulang trofi Liga Europa.
Heung Min telah berada di London utara selama 10 tahun dengan bermain sebanyak 454 perlawanan dan menjaringkan 173 gol.
Jodohnya bersama Spurs dilaporkan semakin hampir ke penghujung apabila Tottenham mahu menjualnya sebelum kontraknya tamat tahun depan.
Menurut laporan The Telegraph, penjualan ini akan meningkatkan bajet perpindahan musim panas dan membiayai rombakan besar skuad.
Kelab dari Arab Saudi dilaporkan berminat untuk mendapatkan khidmat bintang Korea Selatan itu.
Pengurusan liga itu melihat Heung Min sebagai bintang bertaraf dunia yang dikenali ramai, yang boleh membantu perkembangan Liga Pro Saudi di rantau Asia.
The Sun turut mendedahkan secara eksklusif Heung Min adalah sasaran utama kelab Saudi.
Tottenham sebelum ini telah mengaktifkan lanjutan kontrak satu tahun buat pemain berusia 32 tahun itu pada Januari lalu.
Namun keputusan mengenai masa depan Heung Min mungkin tertangguh buat sementara waktu kerana kelab masih belum membuat keputusan mengenai pengurus mereka bagi kempen musim depan.
Ange Postecoglou masih bercuti dan belum menerima sebarang jaminan daripada pihak atasan kelab.
Tottenham turut dikatakan berbincang dengan pengurus lain seperti Thomas Frank (Brentford) dan Marco Silva (Fulham). – AGENSI/UTUSAN






