LONDON: Penyerang Newcastle United, Alexander Isak menuntut gaji sebanyak 300,000 pound (RM1.7 juta) seminggu untuk terus komited dengan masa depannya di kelab itu
Jumlah itu lebih daripada dua kali ganda gaji semasa Isak sebanyak 120,000 pound (RM687,000) seminggu dengan kontrak enam tahun yang dipersetujui pada 2022.
The Magpies pada 2022 membeli Isak dari Real Sociedad dengan nilai 60 juta pound (RM343 juta) dan bintang Sweden itu menyerlah sepanjang kariernya di St James Park.
Permintaan tinggi Isak itu hadir selepas ada permintaan dan tawaran harga tinggi daripada juara Liga Perdana Inggeris (EPL), Liverpool untuk mendapatkan khidmatnya musim depan.
Liverpool dijangka perlu membayar lebih daripada 125 juta pound (RM715 juta) untuk meyakinkan Newcastle supaya menjual Isak, namun sehingga kini tiada kata putus.
Situasi itu menyebabkan The Reds mengalihkan tumpuan kepada penyerang Eintracht Frankfurt, Hugo Ekitike yang dilaporkan bernilai 80 juta pound (RM457 juta).
Ejen Isak, Gonzalo Gaitan ketika bercakap mengenai masa depan pemain itu berkata, selain Liverpool, bintang sensasi Sweden itu turut menarik minat kelab dari negara Teluk.
“Kami sememangnya sedang mengkaji dan menganalisis semua pilihan dan mungkin kami hampir memuktamadkan langkah seterusnya buat pemain itu.
“Namun saya tidak akan mendedahkan sebarang butiran sama ada Isak akan berpindah atau kekal bersama Newcastle,” kata Gaitan.
Ketika berita tentang gossip perpindahan Isak ke kelab lain, terdapat juga dakwaan bahawa pemain iitu kini diasingkan daripada latihan skuad utama Newcastle. – AGENSI/UTUSAN






