LONDON: Penyerang Liverpool, Alexander Isak akan berehat panjang selepas The Reds mengesahkan pemain terbabit telah menjalani pembedahan akibat kecederaan buku lali yang turut membabitkan patah fibula.
Isak yang dibeli dari Newcastle dengan rekod Britain 125 juta pound (RM780 juta) pada September, mengalami kecederaan itu ketika menjaringkan gol dalam kemenangan 2-1 Liverpool ke atas Tottenham.
Pemain berusia 26 tahun itu diasak pertahanan Spurs, Micky van de Ven, dan terpaksa dikeluarkan sejurus selepas golnya.
“Alexander Isak telah berjaya menjalani pembedahan terhadap kecederaan yang dialaminya pada Sabtu,
“Selepas diagnosis, pembedahan dilakukan hari ini terhadap kecederaan buku lali yang turut membabitkan patah fibula.
“Proses pemulihan Isak akan diteruskan di Pusat Latihan AXA, dengan tempoh kepulangannya belum ditetapkan,” menurut kenyataan Liverpool.
Kecederaan Isak adalah tamparan terbaharu dalam permulaan mengecewakan dia bersama Liverpool.
Dia hanya menjaringkan tiga gol daripada 16 penampilan sejak melengkapkan perpindahan panjang ke Anfield.
Pertikaian dengan Newcastle menyebabkan dia tidak melalui pramusim yang sempurna, sekali gus ketinggalan daripada segi kecergasan berbanding rakan sepasukan dan turut terganggu dengan kecederaan pangkal paha.
Ketiadaan Isak memberi kesan besar buat pengendali Reds, Arne Slot, terutama ketika Mohamed Salah beraksi di Piala Negara-Negara Afrika (AFCON) dan Cody Gakpo belum bersedia kembali akibat kecederaan otot hingga awal tahun baharu.
Situasi itu menyaksikan Slot hanya memiliki Hugo Ekitike, yang meledak lima gol dalam empat perlawanan terakhir, serta Federico Chiesa yang jarang digunakan, sebagai pilihan penyerang utama.
“Ia satu tamparan besar kerana pada pandangan saya, Liverpool memang kekurangan seorang penyerang. Ia benar-benar nasib malang buat Isak. Ini mungkin antara detik awal yang memperlihatkan kualiti sebenar dia dalam jersi Liverpool,” kata bekas pertahanan Liverpool, Jamie Carragher.
Liverpool, yang mahu mempertahankan kejuaraan Liga Perdana Inggeris (EPL) terjejas susulan rentetan keputusan buruk, kini naik ke tangga kelima selepas melebarkan rekod tanpa kalah liga kepada lima perlawanan.
Situasi ini, menyaksikan kemungkinan Liverpool mencari penyerang baharu pada jendela perpindahan Januari.
Kecederaan Isak juga berpotensi mempengaruhi keputusan Liverpool untuk mengekalkan Salah, yang sebelum ini dikaitkan dengan perpindahan ke Arab Saudi selepas dakwaannya bahawa dia ‘dikorbankan’ kelab dan tidak lagi mempunyai hubungan dengan Slot. – AGENSI/UTUSAN






