LONDON: Liverpool akan bertandang ke Newcastle United pada awal pagi esok dalam suasana hangat berikutan kemelut perpindahan yang menyaksikan The Reds berusaha mendapatkan penyerang Alexander Isak daripada The Magpies.
Setakat ini, Newcastle telah menolak usaha Liverpool, namun Isak melalui media sosial secara terbuka menyuarakan hasrat untuk berpindah menyertai juara bertahan Liga Perdana Inggeris (EPL) itu.
Ia bukan sekadar luahan di media sosial, Isak juga tidak menyertai pramusim bersama Newcastle dan menjalani latihan secara berasingan berikutan tidak puas hati terhadap kelabnya kerana menghalang perpindahan terbabit.
Penyerang Sweden itu yang mencetak 23 gol pada aksi liga musim lalu menjadi watak penting kepada Newcastle ketika menamatkan kemarau trofi utama selama 70 tahun dengan memenangi Piala Liga.
Pengurus, Eddie Howe mengesahkan Isak tidak akan beraksi berdepan Liverpool tetapi dia berharap penyerang itu boleh kembali ke pasukan kerana tiada permusuhan peribadi antara mereka.
“Saya rasa ini adalah situasi kalah-kalah untuk kami kerana saya tidak fikir kami boleh keluar sebagai pemenang dalam apa jua keadaan.
“Kami sayangkan Isak atas segala yang sudah dia lakukan sejak berada di kelab ini, sumbangannya, profesionalismenya, segalanya,” kata Howe.
Tanpa Isak, Newcastle sekadar seri 0-0 menentang Aston Villa dalam aksi pembukaan liga walaupun mencipta lebih banyak peluang.
Kejayaan menjuarai Piala Liga serta keputusan seri 3-3 menentang Liverpool dalam aksi liga di St James’ Park musim lalu boleh menjadi tonik keyakinan mereka untuk sekali lagi mencipta keputusan positif.
Bagi Pengurus Liverpool, Arne Slot pula menyedari cabaran getir menanti anak buahnya di St James’ Park meskipun isu Isak ketika ini menjadi topik utama.
“Tiada kaitan dengan apa yang banyak diperkatakan di media, tetapi saya fikir jika anda pergi ke Newcastle, anda tahu apa yang akan menanti,” kata Slot. – AGENSI/UTUSAN






