LONDON: Alexander Isak mendakwa Newcastle telah mungkir janji dalam urusan kontraknya dan alasan itu menjadi punca beliau mahu meninggalkan kelab Liga Perdana Inggeris (EPL) itu.
Menurut Isak, perpindahannya dari Newcastle adalah demi kebaikan semua pihak dan perkara itu juga sudah lama diketahui oleh pihak kelab yang hanya menunggu tawaran lumayan sahaja.
Penyerang Sweden yang menamatkan musim lalu sebagai penjaring kedua terbanyak EPL, tidak diturunkan pada perlawanan pembukaan kempen baharu ketika seri 0-0 dengan Aston Villa, Sabtu lalu.
Liverpool sudah membuat bidaan 110 juta pound (RM626 juta) yang ditolak Newcastle, The Magpies menuntut rekod perpindahan sehingga 150 juta pound (RM854 juta) bagi pemain berusia 25 tahun itu.
Isak mengeluarkan kenyataan,semalam selepas memutuskan untuk tidak hadir ke majlis anugerah Persatuan Pemain Bolasepak Profesional (PFA) walaupun tersenarai dalam skuad terbaik EPL 2024-25.
“Saya berdiam diri terlalu lama sementara orang lain bercakap. Diam itu membolehkan orang menyatakan versi mereka sendiri, walaupun mereka tahu ia tidak menggambarkan apa yang sebenarnya diperkatakan dan dipersetujui secara tertutup.
“Kenyataannya adalah janji sudah dibuat dan kelab sudah lama mengetahui pendirian saya. Untuk bertindak seolah-olah isu ini baru timbul adalah mengelirukan.
“Apabila janji dimungkiri dan kepercayaan hilang, hubungan tidak boleh diteruskan. Itulah keadaan saya sekarang dan sebab mengapa perubahan adalah demi kebaikan semua pihak, bukan hanya saya seorang,” kata Isak.
Menurut laporan terbaharu, Newcastle mengambil keputusan untuk mengekalkan pemain itu selepas kenyataan keras Isak terhadap kelab tersebut.
Sejak menyertai dari Real Sociedad pada tahun 2022, Isak menjaringkan 62 gol dalam 109 penampilan, termasuk gol kemenangan menentang Liverpool pada final Piala Liga awal tahun ini yang menamatkan penantian 70 tahun Newcastle untuk meraih trofi domestik.
Sebarang perjanjian antara Newcastle dan Liverpool dijangka tidak akan dimuktamadkan sebelum kedua-dua kelab berdepan dalam aksi EPL di St James’ Park, pada Selasa ini. – AGENSI/UTUSAN






