PETALING JAYA: Harapan pemain perseorangan negara, Leong Jun Hao untuk melangkah ke pusingan ketiga Kejohanan Badminton Dunia berkecai selepas tunduk kepada pemain Jepun, Kenta Nishimoto dalam pertarungan penuh debar, kelmarin.
Bekas juara remaja Asia itu tewas dalam aksi sengit tiga set 21-17, 13-21, 23-25 meskipun memiliki peluang keemasan untuk menamatkan perlawanan lebih awal.
Pengarah Kejurulatihan Perseorangan Negara, Kenneth Jonassen mengakui kecewa kerana beberapa keputusan taktikal yang tidak menjadi akhirnya menghukum pemain berusia 26 tahun itu.
“Sasaran kami adalah kemenangan, bukan sekadar persembahan menarik, namun beberapa pilihan yang kurang tepat membezakan dia dengan Nishimoto,” kata Jonassen.
Jurulatih dari Denmark itu tetap memuji semangat juang tinggi ditunjukkan Jun Hao yang beraksi bermati-matian hingga ke hujung mata penentuan.
Perlawanan tersebut memang dijangka berlangsung ketat kerana kedua-duanya memiliki rekod pertemuan seimbang dengan Jun Hao menang tiga kali dalam lima aksi sebelum ini.
Namun, kali ini Nishimoto lebih tenang mengawal detik-detik penting sekali gus menafikan kebangkitan wakil negara yang hampir mencipta kejutan.
Jonassen menegaskan barisan jurulatih kini semakin hampir menemukan rentak sebenar pemain itu walaupun masih ada ruang besar untuk dipertingkatkan.
“Corak permainannya semakin jelas, cuma perlu lebih konsisten dan tahu bila masa terbaik beri tekanan kepada lawan,” ujarnya. – UTUSAN






