LONDON: Penyerang Tottenham Hotspur, Richarlison dipilih sebagai pemain terbaik minggu pertama Liga Perdana Inggeris (EPL).
Richarlison muncul wira apabila menjaringkan dua gol dalam kemenangan 3-0 Spurs menentang pasukan pendatang baharu liga, Burnley.
Gol pertamanya hadir menerusi satu penyudah kemas hasil hantaran lintang Mohammed Kudus yang menewaskan benteng lawan.
Tidak lama kemudian, penyerang Brazil berusia 28 tahun itu mencuri tumpuan dengan sepakan gunting menakjubkan untuk menggandakan kedudukan sekali gus diiktiraf sebagai antara jaringan tercantik dalam sejarah minggu pembukaan EPL.
Aksi cemerlang itu menyaksikan namanya tersenarai bersama lapan calon pemain terbaik minggu pertama yang dipilih menerusi undian peminat.
Richarlison mengungguli carta dengan 27 peratus undian, mengatasi Dan Ballard (20 peratus), Tijjani Reijnders (18) serta beberapa lagi pencabar lain.
Turut berada dalam senarai undian tersebut ialah Hugo Ekitike (12 peratus), Antoine Semenyo (9), David Raya (6), Erling Haaland (5) dan Chris Wood (3). – AGENSI/UTUSAN






