PETALING JAYA: Menjelang Kejohanan Dunia Berbasikal Trek 2025 di Santiago, Chile pada Oktober ini, dua pelumba terbaik negara, Muhammad Shah Firdaus Sahrom dan Nurul Izzah Izzati Mohd Asri tidak akan menyertai Piala Trek Asia 2025, hujung bulan ini.
Kejohanan yang dijadualkan berlangsung dari 28 hingga 30 Ogos di Suphanburi, Thailand itu sepatutnya menjadi medan pemanas badan, namun barisan kejurulatihan memilih untuk menumpukan sepenuhnya kepada persediaan kejohanan dunia.
Ketua jurulatih berbasikal trek negara, Harnizam Basri berkata, ketiadaan Shah dan Izzah adalah keputusan strategik demi memastikan kedua-dua pelumba berada pada tahap terbaik di pentas utama.
Menurutnya, seramai 18 pelumba terdiri daripada 10 atlet elit dan lapan pelapis akan dibawa ke Suphanburi melibatkan acara pecut dan endurance.
“Shah dan Izzah tidak akan ke kejohanan di Thailand kerana fokus kami adalah untuk persiapan ke Kejohanan Dunia.
“Untuk kejohanan dunia, kita tak hantar pasukan pecut wanita kerana ia bukan tumpuan kali ini, sementara pasukan lelaki akan melalui pemilihan khas pada 11 September nanti,” kata Harnizam kepada Nexbyte.
Piala Trek Asia 2025 dijangka menjadi pentas penting buat negara-negara utama Asia menguji pelumba menjelang Santiago, namun Malaysia memilih pendekatan berbeza dengan tidak menghantar dua tonggak utama.
Izzah yang kini berada di prestasi terbaik selepas jelajah Jerman serta Shah yang masih dalam fasa akhir pemulihan kecederaan lutut bakal menjadi taruhan utama negara dalam acara keirin dan pecut nanti. – UTUSAN






