PETALING JAYA: Hasrat Malaysia mempertaruhkan pelumba terbaik dalam acara keirin di Kejohanan Dunia Berbasikal Trek di Santiago, Chile Oktober ini terus menjadi tanda tanya apabila Shah Firdaus Sahrom belum pulih sepenuhnya daripada kecederaan lutut.
Ketua jurulatih berbasikal trek negara, Harnizam Basri mendedahkan Shah masih berdepan ketidakselesaan terutama ketika melakukan pecutan di luar pelana, situasi yang tidak ideal untuk pakar keirin sepertinya.
Bagaimanapun, sejurus pulang dari kejohanan di Jerman bulan lalu, pelumba kelahiran Muar, Johor itu menunjukkan pemulihan positif selepas menjalani beberapa ujian fisioterapi.
“Dia kini dalam fasa akhir pemulihan dan telah menunjukkan perkembangan baik selepas menjalani fisioterapi setiap hari sejak beberapa bulan lalu.
“Namun, dia masih rasa tidak selesa dan hilang kuasa apabila lutut dibengkokkan antara sudut 77 hingga 90 darjah, dan ini sangat mencabar untuk atlet seperti Shah,” kata Harnizam kepada Mingguan Malaysia.
Kecederaan itu menyaksikan Shah tidak akan diturunkan dalam Piala Trek Asia di Suphanburi, Thailand hujung bulan ini kerana barisan kejurulatihan enggan mengambil risiko kecederaan bertambah serius atau lebih buruk ketika berlumba.
Dalam pada itu, pengarah teknikal berbasikal negara, John Beasley turut mengakui pasukan sedang mencari pendekatan baharu selepas usaha pemulihan secara konservatif tidak memberi hasil seperti yang diharapkan.
“Kami masih ada banyak kerja perlu dilakukan kerana Shah masih lagi dibelenggu isu lutut dan kami perlu cari cara untuk hilangkan rasa sakit itu sepenuhnya.
“Kami sudah cuba rawatan pasif melalui rehat dan fisioterapi, tetapi nampaknya tidak berkesan, jadi langkah seterusnya adalah mengadakan perbincangan bersama pasukan perubatan untuk cuba kaedah lain,” kata Beasley.
Pelumba berusia 30 tahun itu mengalami kecederaan ketika menjalani latihan kekuatan sebelum Kejohanan Berbasikal Trek Asia (ACC) 2025 di Nilai Februari lalu yang menyebabkan kerosakan kecil pada tempurung lutut kanannya.
Shah bertarung dengan kesakitan lututnya ketika menyertai lima perlumbaan bersiri di Jerman selama sebulan pada penghujung Jun sekaligus menyaksikan beliau gagal mempamerkan kayuhan bertenaga di Cottbus. – UTUSAN






